Umno Selangor gagal kembalikan kegemilangan, kata Zafrul


Bekas bendahari Umno negeri Selangor Tengku Zafrul Aziz berkata Umno Selangor mencatatkan prestasi terburuk dalam sejarah di negeri ini dengan tidak memenangi satu kerusi persekutuan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2024.

UMNO Selangor telah gagal melakukan apa-apa untuk memulihkan dirinya berikutan kekalahannya pada pilihan raya umum dan pilihan raya negeri lepas, kata bekas bendahari negeri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, gesaannya supaya bahagian negeri mengembalikan kegemilangan parti di Selangor tidak didengari.

Menurutnya pada pilihan raya umum 2022, Umno mencatatkan prestasi terburuk dalam sejarah di negeri ini dengan tidak memenangi satu kerusi persekutuan.

Dan kemudian pada pilihan raya negeri Ogos lalu, Umno hanya memenangi dua kerusi DUN di kerusi yang pernah dikuasainya.

“Selepas Umno Selangor kalah teruk PRN Selangor, saya nyatakan bahawa ini adalah amaran terakhir untuk Umno Selangor. Kalau keputusan PRN tu masih belum celikkan Umno Selangor, tak ada apa yang boleh celikkan Umno Selangor.

“Sekarang ni dah 8 bulan lepas PRN, masih tak ada apa-apa. Post mortem mendalam? Tak ada. Strategi baru tawan hati rakyat? Tak ada.

Jadi, kalau pandangan saya tentang keperluan mendesak untuk mengembalikan kegemilangan Umno Selangor tidak diterima, saya kira lebih baik saya tumpukan kepada membantu UMNO di peringkat pusat dan di peringkat bahagian,” kata menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu dalam catatan Facebooknya.

Minggu lalu, Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai bendahari Umno negeri, berkata usaha bahagian negeri untuk memulihkan parti adalah “membosankan” dan ia tidak sepadan dengan kepimpinan pusat parti.

Beliau kekal sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan Ahli Majlis Tertinggi.

Ketua Penerangan Umno negeri Mohd Zaidi Md Zain membalas dan berkata Zafrul sepatutnya membincangkan masalahnya atau menulis surat rasmi kepada Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin sebelum bercakap tentang rungutannya di khalayak ramai.

Dalam catatan Facebook terbarunya, Zafrul juga berkata Umno Selangor mesti menjalankan kajian untuk memahami kehendak dan keperluan rakyat.

Beliau juga berkata parti itu mesti menaik taraf operasinya di peringkat organisasi supaya ia menjadi organisasi yang kos efektif, berkomunikasi dengan cepat dan terbuka kepada idea akar umbi.

“Kita perlu rangka kerjasama yang win-win dengan rakan-rakan kita di negeri Selangor.

“Kita perlu terapkan budaya-budaya politik baharu – baik budaya intelektual, fokus kepada solusi dan dasar, buang cah keting.

“Kerana jika kita tidak ubah budaya, tidak kiralah tebal mana pelan visi kita, akhirnya kita akan kekal tanpa kuasa,” katanya.– 6 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen