Ahmad Maslan cabar Bersih bawa aduan ke mahkamah


Ahmad Maslan menegaskan kenyataan yang dibuat oleh beliau berhubung peruntukan pada PRK sebelum ini adalah berpandukan kepada keputusan mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2024.

PEMIMPIN Umno Ahmad Maslan berkata keputusan mahkamah membenarkan beliau dan menteri-menteri lain untuk membuat pengumuman peruntukan semasa pilihan raya kecil (PRK).

Beliau juga mencabar badan pemantau pilihan raya Bersih untuk membawa aduannya ke mahkamah bagi membatalkan keputusan yang membenarkan pengumuman tersebut.

“Saya cabar Bersih untuk buat kajian tentang keputusan mahkamah itu, bawa kembali (ke mahkamah) atas sebab apa dan cabar, maka (nanti) tidak ada lagilah pengumuman.

“Saya dah lama mengikuti PRK dan saya hadir hampir semua PRK sejak 1990 kecuali satu di Batang Ai, Sarawak… punyalah banyak (kes seperti ini) sejak tahun 1990 dan tentu saya tahu cerita kerana duluan kes ketika zaman Tengku Razaleigh Hamzah berkenaan pengumuman projek jalan semasa PRK.

“...kerana duluan kes ini mahkamah memutuskan kerajaan berhak umum di mana dan pada bila-bila masa pun dan kepada sesiapa pun dan tentang apa pun yang difikirkan sesuai kepada rakyat, tak kira waktu, semasa PRK ataupun tidak PRK,” katanya ketika ditemui selepas program Ceramah Perpaduan di Sungai Bakap malam tadi seperti yang dilaporkan Bernama.

“Bagaimanapun, beliau tidak menyebut kes mahkamah yang dirujuknya.

Bersih mempersoalkan kenyataan dari Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya mengenai kesesuaian menteri atau kementerian menganjurkan program atau mengumumkan peruntukan semasa PRK.

Ahmad berkata isu menganjurkan program dan mengumumkan peruntukan sebelum ini dibawa ke mahkamah tetapi keputusan tidak memihak kepada mereka yang mencabarnya

PRK Sungai Bakap pada 6 Julai akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PH Joohari dan calon Perikatan Nasional Abidin Ismail.

Kerusi tersebut kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei akibat radang perut. – 27 Jun, 2024



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen