Rukun Negara paksi agenda perubahan iklim Malaysia


Fakhrurrazi Rashid

Sebuah masyarakat mempercayai tuhan dan beragama tidak mungkin mempunyai kehendak untuk memusnahkan alam sekitar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2024.

MASALAH alam sekitar dan perubahan iklim merupakan sudah menjadi masalah global yang perlu ditangani umat manusia secara bersama.

Laporan World Economic Forum (WEF) bertajuk Quantifying the Impact of Climate Change on Human Health menyatakan perubahan iklim yang tidak dapat diuruskan dengan baik sehingga 2050 akan menyebabkan kerugian ekonomi AS$12.5 trilion dan dua bilion kematian di peringkat global.

Unjuran WEF ini sudah cukup menggambarkan betapa dasyatnya kesan perubahan iklim dan alam sekitar kepada kesejahteraan hidup manusia yang selalu mengambil sikap sambil lewa sehingga tragedi buruk menimpa dirinya sendiri.

Kebimbangan ini membuka kebanyakan pemimpin negara, aktivis, dan Masyarakat untuk mula membincangkan tindakan seterusnya untuk mengatasi masalah iklim.

Malaysia tidak ketinggalan dalam menggubal dasar bagi menambahbaik pengurusan alam sekitar dan perubahan iklim.

Dalam Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP28), kerajaan Malaysia komited untuk mengatasi cabaran perubahan iklim seperti membangunkan bandar sifar karbon dan mensasarkan jalur pelepasan bersih (zero net emission) menjelang 2050.

Salah satu dasar utama negara dalam menguruskan perubahan iklim adalah dengan merangka Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) pada 2023. Dasar ini adalah pelengkap kepada Dasar Tenaga Negara yang boleh mempercepatkan usaha mengurangkan pelepasan karbon sifar bersih buat Malaysia pada 2050.

Rakyat tidak cakna

Walaupun pelbagai usaha sedang giat dijalankan, terdapat beberapa dakwaan yang menyatakan rakyat secara amnya masih kurang faham dan sedar akan kepentingan mengatasi isu perubahan iklim di Malaysia.

Tinjauan pada 2022 yang dibuat oleh Hab Penyelidikan Perubahan Iklim dan Komunikasi Monash (MCCCRH) Cawangan Malaysia menyatakan 97% responden berusia 18 tahun ke atas sedar akan masalah iklim yang sedang berlaku di Malaysia.

Namun, majoriti daripada mereka tidak tahu langkah wajar yang perlu diambil untuk mengatasi isu ini.

Antara faktornya adalah informasi perubahan iklim yang rumit dan tidak mempunyai naratif mudah difahami rakyat terbanyak. Malah, menurut Ketua Projek Pangkalan Data MyIKLIM, Dr Maggie Ooi Chel Gee, data tempatan yang terhad dan kebergantungan kepada maklumat global menyulitkan lagi usaha untuk menyebarkan kesedaran dan advokasi berkenaan perubahan iklim di Malaysia.

Justeru, masalah ini seharusnya dipandang serius untuk memastikan kesedaran berkenaan perubahan iklim mendapat perhatian masyarakat.

Tanpa strategi komunikasi dan naratif yang tepat, sudah pasti pihak kerajaan dan pembuat dasar itu sendiri sukar untuk mendapat sokongan rakyat untuk bertindak secara kolektif bagi mengatasi isu perubahan iklim.

Salah satu aspek yang boleh difikirkan dalam mengatasi cabaran ini adalah dengan meletakkan asas yang sudah sebati di jiwa masyarakat, iaitu Rukun Negara, sebagai prinsip asas meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan alam sekitar dan perubahan iklim. Mengapa?

Rukun Negara tonggak utama

Rukun Negara merupakan satu falsafah dan cara hidup setiap rakyat Malaysia. Secara asasnya, falsafah Rukun Negara juga turut menyentuh tentang kepentingan membentuk rakyat Malaysia yang mementingkan kesejahteraan hidup yang lebih ke hadapan dengan berasaskan fakta saintifik yang moden dan terkini.

Justeru, falsafah ini selari dengan isu alam sekitar yang memerlukan seluruh rakyat Malaysia memahami cabaran ini secara tuntas dan berfakta demi membentuk persekitaran hidup yang lebih baik dan selamat.

Cabaran perubahan iklim juga boleh dikaitkan dengan beberapa prinsip rukun negara. Prinsip Pertama, iaitu kepercayaan kepada tuhan, amat signifikan dalam isu perubahan iklim. Semua agama dan kepercayaan di Malaysia mengajar manusia untuk sentiasa menghargai keindahan alam sekitar yang dicipta tuhan.

Sebuah masyarakat mempercayai tuhan dan beragama tidak mungkin mempunyai kehendak untuk memusnahkan alam sekitar.

Dari sudut yang berbeza, agama dan kepercayaan yang tinggi ini seharusnya membentuk masyarakat bertanggungjawab menjaga alam sekitar dengan baik, bukan sekadar menyatakan ini semua act of God apabila bencana alam berlaku akibat ketidakpedulian masyarakat terhadap ekosistem sekeliling mereka.

Prinsip ketiga Rukun Negara, iaitu kedaulatan undang-undang, juga boleh mencetuskan kefahaman rakyat tentang isu perubahan iklim. Suka atau tidak, undang-undang berfungsi sebagai peraturan untuk mengatasi sesuatu isu yang dihadapi negara dan rakyat, termasuk dalam isu-isu perubahan iklim dan alam sekitar.

Contohnya, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 adalah satu undang-undang untuk menjaga kelestarian alam sekitar agar ia tidak tercemar dan musnah sehingga boleh menjejaskan kehidupan masyarakat dan individu itu sendiri.

Malah, pada 2023, kerajaan perpaduan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar telah meningkatkan denda dan kompaun maksimum sebanyak RM 10 juta sebagai usaha kerajaan membanteras mereka yang tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai dan alam sekitar.

Undang-undang alam sekitar ini perlu diketahui rakyat supaya mereka boleh berganding bahu dengan kerajaan dalam isu pencemaran alam sekitar dan perubahan iklim. Dari sisi yang berbeza, undang-undang berkaitan perubahan iklim juga harus mencipta keadilan sejagat dari sudut ekonomi, khasnya kepada golongan rentan dan berpendapatan rendah.

Contohnya, sejauh manakah komuniti desa dan berpendapatan rendah dapat memanfaatkan penggunaan tenaga solar yang kosnya menelan beratus-ratus dan beribu-ribu ringgit?

Apakah mewujudkan solar farm benar-benar memberi impak kepada masyarakat sekeliling atau hanya menguntungkan syarikat semata-mata? Apakah rakyat berpendapatan rendah mampu menikmati kenderaan EV yang berpatutan?

Sekiranya penghayatan Rukun Negara ini Berjaya, sudah pasti usaha menjaga alam sekitar dan mengatasi perubahan iklim dapat ditangani di Malaysia dengan efektif.

Jika tidak, maka ia akan menyukarkan lagi kerjasama di antara masyarakat dan kerajaan untuk menangani isu perubahan iklim dalam tempoh yang lebih panjang.

Saya percaya, menjadikan Rukun Negara sebagai pemikiran utama dalam memperjuangkan isu perubahan iklim dan alam sekitar adalah langkah signifikan.

Ia bukan sekadar mampu memudahkan rakyat untuk memahami isu sebenar, tetapi ia boleh meningkatkan semangat kekitaan dalam masyarakat untuk bersama-sama menjaga alam sekitar dengan baik. – 26 Mei, 2024.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen