Penyerang balai polis Ulu Tiram tiada kaitan kumpulan pengganas, kata KPN


Ketua Polis Negara Razarudin Husain menjelaskan kenyataan awal yang dikeluarkan pasukan itu mengatakan suspek anggota Jemaah Islamiyah (JI) adalah berdasarkan penglibatan bapanya dengan kumpulan pengganas itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei 2024.

POLIS menafikan lelaki yang membunuh dua anggota polis di Balai Polis Ulu Tiram mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain menjelaskan kenyataan awal yang dikeluarkan pasukan itu mengatakan suspek anggota Jemaah Islamiyah (JI) adalah berdasarkan penglibatan bapanya dengan kumpulan pengganas itu.

Razarudin berkata bapa suspek berusia 62 tahun yang merupakan anggota JI.

“Suspek tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas dan tidak mempunyai kaitan dengan JI. Dia tidak terlibat dalam keganasan,” kata Razarudin dalam satu laporan.

Beliau berkata polis sedang berusaha untuk mengenal pasti motif di sebalik serangan itu.

Pada 2.45 pagi Jumaat, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas mereka diserang oleh seorang lelaki yang bersenjatakan parang. Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, ditembak.

Susulan serangan itu polis menahan lima ahli keluarga suspek berusia 19 hingga 62 tahun bersama dua lagi yang kesemuanya direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – 19 Mei 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen