SATU-SATUNYA anggota militan masih hidup yang melakukan serangan di Paris pada November 2015 memohon maaf pada Jumaat kepada mangsa ketika akhir keterangan perbicaraannya.
“Saya ingin mengucapkan takziah dan memohon maaf kepada semua mangsa,” kata Salah Abdeslam memberitahu mahkamah dalam kenyataan yang diselang- seli sebak.
“Saya tahu kebencian itu kekal… Saya memohon pada hari ini agar anda tidak begitu membenci,” katanya sambil menambah: “Saya memohon anda maafkan saya.”
Kenyataan itu menjadi penamat dramatik kepada tiga hari keterangan oleh Abdeslam, yang pada peringkat awal perbicaraan hanya menutup mulut selain sesekali menyuarakan bantahan terhadap mahkamah.
Abdeslam, suspek perbicaraan utama selepas kesemua anggota yang bersubahat maut semasa atau selepas serangan, berkata dalam keterangannya beliau merancang meletupkan dirinya di sebuah bar yang sesak tetapi membatalkannya apabila melihat mereka yang bakal terbunuh.
Seorang peguam pembelanya, Olivia Ronen, semasa soal balas terhadap anak guamnya, bertanya sama ada beliau menyesal tidak melaksanakan rancangannya sehingga akhir.
“Saya tidak menyesal. Saya tidak membunuh orang-orang ini dan saya tidak mati,” jawabnya.
“Saya ingin mengatakan hari ini yang kisah 13 November ini ditulis dengan darah mangsa. Ia adalah kisah mereka, dan saya adalah sebahagian daripadanya,” tambahnya.
“Mereka dikaitkan dengan saya dan saya dikaitkan dengan mereka,” katanya dengan suara bergetar, sebelum mengeluarkan permohonan maafnya.
Ditujukan kepada mereka yang cedera dan waris mangsa: “Saya tahu ini (permintaan maaf) tidak akan menyembuhkan anda.
“Tetapi jika ia boleh memberi kebaikan kepada anda, jika saya boleh melakukan apa-apa kebaikan untuk salah seorang mangsa, maka bagi saya ia adalah kemenangan.”
Pengganas membunuh 130 orang dalam insiden pengeboman bunuh diri dan tembakan di stadium Stade de France, dewan konsert Bataclan dan di depan bar serta restoran pada 13 November 2015, yang disifatkan sebagai kekejaman terburuk di Perancis. – AFP, 16 April, 2022.
Komen