Lelaki berpakaian tentera bunuh 136 penduduk kampung, kata kumpulan aktivis


Angkatan bersenjata Burkina Faso menghadapi pemberontakan militan yang bergabung dengan Al-Qaeda dan Isis yang menyerang dari negara jiran Mali pada 2015. – Gambar AFP, 1 Mei, 2023.

KUMPULAN hak asasi manusia di Burkina Faso melaporkan pada Jumaat yang jumlah kematian akibat pembunuhan beramai-ramai di kampung oleh sekumpulan lelaki berpakaian seragam tentera adalah lebih dua kali ganda berbanding angka rasmi.

Lelaki bersenjata berpakaian tentera negara itu membunuh penduduk kampung di Karma di utara pada 20 April, membunuh kira-kira 60 orang, menurut seorang pendakwa raya tempatan.

Mereka yang terselamat dan penduduk Karma berkata lebih 100 maut dalam serangan itu.

“Pasukan kami mendokumentasikan dan mendaftarkan 136 mayat di Karma, termasuk 50 wanita dan 21 kanak-kanak—beberapa bayi di bawah umur 30 hari dibunuh ketika didukung ibu mereka,” kata Collective against Impunity and Stigmatization of Communities (CISC).

NGO itu menambah dalam kenyataannya yang penyerang juga membunuh 11 orang berdekatan pada hari yang sama—enam di kampung Dinguiri, dua di Mene dan tiga di jalan antara Ouahigouya dan Barga.

CISC berkata di Karma, penyerang mengumpulkan puluhan orang awam mengikut kawasan dan mengarah lelaki bersenjata dengan setiap kumpulan membunuh mereka, kata ketua CISC Daouda Diallo.

NGO itu berkata pertumpahan darah itu berikutan serangan pengganas pada 15 April yang meragut nyawa 40 tentera dan sukarelawan bantuan di wilayah yang sama.

“Mangsa yang terselamat berkata penyerang menuduh penduduk kampung Karma melindungi ahli kumpulan pengganas,” kata Diallo, pemenang Anugerah Martin Ennals 2022, hadiah utama bagi sumbangan hak asasi manusia.

CISC menggesa siasatan kehakiman sepenuhnya dan tidak berat sebelah bagi membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Kerajaan tentera Burkina pada Khamis membuat kenyataan mengenai pembunuhan di Karma, mengutuk “perbuatan biadab” dan menggesa siasatan penuh.

Ravina Shamdasani, jurucakap pesuruhjaya tinggi PBB bagi hak asasi manusia, berkata dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa bahawa menurut laporan “sekurang-kurangnya 150 orang awam” mungkin dibunuh.

Angkatan bersenjata Burkina Faso menghadapi pemberontakan militan yang bergabung dengan Al-Qaeda dan Isis yang menyerang dari negara jiran Mali pada 2015.

Lebih 10,000 orang awam dan anggota pasukan keselamatan meninggal dunia, menurut anggaran NGO, manakala sekurang-kurangnya 2 juta orang meninggalkan rumah mereka. – AFP, 1 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen