ADA gelombang baharu untuk menghidupkan semula kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Ayob Khan Mydin Pitchay.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman itu berkata polis perlu bertindak terhadap kumpulan berkenaan sebelum keadaan menjadi teruk.
Menurutnya, kumpulan itu juga telah menubuhkan cawangan di seluruh negara.
“Ada gelombang baharu untuk mendapatkan kumpulan itu, mereka cuba mengaktifkan semula pergerakan bahkan telah menubuhkan cawangan di seluruh negara. Ini perkara yang serius. Kami lihat ada unsur serius untuk hidupkan semula kumpulan berkenaan.
“Jika kita tak bertindak sekarang, mungkin sesuatu telah berlaku walaupun setakat ini kumpulan itu hanya mempromosikan dan menghidupkan agenda LTTE tetapi jangan kita lupa kejadian pada 2016 di mana Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka telah diserang di lapangan terbang,” katanya.
Ayob kemudian mendedahkan polis telah memantau pergerakan LTTE di negara ini sejak awal 90-an.
“Kami telah mengawasi mereka sejak 1990. Pada 90-an kami berjaya hentikan sebuah kapal yang membawa senjata di sebuah pelabuhan di Pulau Pinang yang dalam perjalanan ke Sri Lanka.
“Kami telah mengesan transaksi wang sejak 1980. Kami tahu wang itu dibawa ke Eropah sebelum ke Sri Lanka. Kami juga tahu wang yang datang dari Sri Lanka dibawa masuk ke negara kita.
“Kami juga membuat penangkapan pada 2009 melibatkan beberapa ahli daripada LTTE dan kami tidak menangkap sewenang-wenangnya tetapi dengan bukti yang kukuh,” katanya.
Di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi ini Ayob mendedahkan penangkapan lima lelaki yang terlibat dalam LTTE.
Lima orang ditahan kerana disyaki mempromosikan, menyokong dan menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas berkenaan.
Ini membawa kepada 12 orang jumlah tangkapan dalam siasatan LTTE.
Sebelum ini polis telah menahan tujuh orang pada Khamis lepas termasuk dua wakil rakyat DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan kerana didakwa mempromosikan dan cuba menghidupkan semula kumpulan berkenaan.
Kesemua tujuh individu itu ditahan di Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.
Mereka ditangkap mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang memberi kuasa kepada polis untuk menahan selama 28 hari.
Sumber polis turut memberitahu The Malaysian Insight, lima lagi suspek ditahan di Pulau Pinang, Melaka dan Selangor pada Sabtu.
Polis berkata, mereka tidak menolak kemungkinan untuk membuat lebih banyak tangkapan untuk memudahkan siasatan LTTE. – 13 Oktober, 2019.
Komen