Penyokong LTTE ada hubungan dengan parti di selatan India, kata sumber


Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis mengesahkan 12 ditahan setakat ini kerana cuba menghidupkan kembali kumpulan pengganas LTTE. – Gambar PDRM, 13 Oktober, 2019.

USAHA menghidupkan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia dikaitkan dengan satu parti politik berpengkalan di Tamil Nadu, menurut beberapa sumber.

Parti Naam Tamilar Katchi (NTK) di selatan India itu dikenalpasti sebagai penghubung bagi kumpulan rakyat Malaysia termasuk beberapa individu ternama untuk menghidupkan LTTE.

Sumber menyebut, parti pimpinan Senthamizhan Seeman itu bertemu beberapa kali dengan individu ternama dari Malaysia sejak beberapa tahun lalu untuk mempromosi usaha menghidupkan agenda LTTE.

Antara individu yang bertemu rapat dengan Seeman dan NTK merupakan antara tujuh orang yang ditahan pada Khamis kerana disyaki cuba menghidupkan LTTE di Malaysia.

Beberapa orang kenamaan lain juga dalam pemantauan polis berhubung kes itu namun masih bebas, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight mengetahui identiti personaliti tersebut tetapi tidak menamakan mereka dalam laporan ini kerana siasatan masih dijalankan.

Pada Khamis, tujuh individu termasuk seorang anggota Exco DAP Melaka dan seorang lagi wakil rakyat parti itu di Negeri Sembilan ditahan kerana disyaki mempromosi, menyokong serta menyalur dana kepada LTTE, selain menyimpan bahan-bahan berkaitan organisasi itu.

Dua wakil rakyat DAP itu adalah Adun Gadek G Saminathan dan wakil rakyat Seremban Jaya P Gunasekaran.

Kesemua tujuh individu itu ditahan di Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Mereka ditangkap mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang memberi kuasa kepada polis untuk menahan selama 28 hari.

Sumber polis turut memberitahu The Malaysian Insight, lima lagi suspek ditahan di Pulau Pinang, Melaka dan Selangor pada Sabtu.

Polis dijangka mengadakan sidang media hari ini berhubung penahanan itu.

Mengulas mengenai pengaruh NTK kepada penyokong LTTE di Malaysia, sumber berkata tujuan asal penubuhan parti itu adalah untuk menyokong kumpulan pengganas itu serta agendanya.

Agenda LTTE itu adalah memisahkan wilayah tersebut daripada Sri Lanka untuk menjadi negara Tamil Eelam, kata sumber.

“Namun setelah LTTE dikalahkan kerajaan Sri Lanka, NTK dengan sokongan pemimpin LTTE di peringkat antarabangsa menukar agenda (untuk) membela hak asasi dan kedaulatan orang Tamil di Sri Lanka.

“Dalam pada itu, bagi mencapai sokongan masyarakat Tamil di peringkat antarabangsa, NTK turut memperjuangkan agenda seperti kepentingan bahasa Tamil.

“NTK juga mula mengenalpasti negara yang mempunyai komposisi penduduk Tamil yang besar bagi menyebarkan dan memastikan agenda NTK tercapai termasuk Malaysia,” kata sumber.

Sumber juga berkata, Seeman mula melawat Malaysia sejak 2102 untuk memperluas pengaruh dan agendanya, termasuk mengadakan beberapa pertemuan dengan beberapa orang kenamaan yang bersimpati dengan tujuan dan usaha LTTE.

Salah seorang yang ditemui dan mengadakan perbicangan dengan Seeman adalah Kalaimughilan Arjunan, salah seorang daripada tujuh yang ditahan pada Khamis.

Menurut sumber, Seeeman mengarahkan Kalaimughilan menubuhkan cawangan NTK Malaysia dinamakan Naam Tamilar Malaysia.

“Naam Tamilar Malaysia pada mulanya untuk membela bekas anggota LTTE namun kini berubah kepada menyokong perjuangan LTTE,” kata sumber.

Kalaimughilan diketahui menyokong LTTE seperti yang didedahkan dalam akaun media sosialnya.

Individu itu juga terlibat dalam kes menyerang pesuruhjaya tinggi Sri Lanka ke Malaysia di Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada 2016.

Pada September lalu, beliau dan dua lagi individu masing-masing dijatuhkan hukuman denda berjumlah RM9,500 selepas mengaku salah ke atas empat tuduhan, termasuk menyerang pesuruhjaya tinggi tersebut.

Satu lagi sumber memberitahu The Malaysian Insight, Seeman juga melancarkan cawangan Malaysia sedara rasmi untuk parti nasionalis Tamil tersebut pada 7 April lalu.

Pelancaran itu dibuat di sebuah restoran di sekitar Masjid India di Kuala Lumpur dan membuka keahlian kepada komuniti India Muslim di kawasan itu, kata sumber.

Polis tidak menolak kemungkinan untuk membuat lebih banyak tangkapan bagi membantu siasatan berkait dengan kumpulan pengganas LTTE.

LTTE disenaraikan sebagai kumpulan pengganas sejak 2014 dan turut disenaraikan sebagai organisasi pengganas di Amerika Syarikat, India dan Sri Lanka. – 13 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen