MALAYSIA mengakui laporan kerajaan AS yang menyatakan bahawa negara ini adalah hab transit pilihan pengganas justeru itu kerajaan memerlukan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau dikenali sebagai Sosma bagi membendung kegiatan sedemikian, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata ancaman keganasan di Malaysia adalah benar dan beliau menyedari sepenuhnya situasi yang dinyatakan dalam laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat bagi tahun 2018 yang diterbitkan pada hari Jumaat.
“Kami tahu bahawa Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menjadi titik transit, seperti yang dinyatakan dalam laporan itu.
“Kita tidak boleh membiarkan unsur-unsur seperti ini berkembang di sini. Itu sebabnya polis telah ambil tindakan. Kita perlu buat penangkapan.
“Kita perlu menggunakan undang-undang pencegahan seperti Sosma kerana ancaman itu adalah benar, kita akan terus memantau dan mengambil langkah pencegahan,” kata Muhyiddin pada satu majlis di Serdang.
Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai aktiviti keganasan bagi 2018 mengatakan Malaysia masih kekal menjadi hab “sumber dan titik transit” bagi kumpulan pengganas seperti Daesh, walaupun usaha anti keganasannya giat dijalankan.
Laporan itu mengemukakan empat insiden berkaitan keganasan, tetapi menyatakan tidak ada serangan Daesh dan sekutunya terhadap Malaysia tahun lepas.
“Walaupun tidak ada serangan Daesh dan sekutunya di Malaysia pada tahun 2018, negara ini masih menjadi hab sumber dan titik transit, dan negara ini menjadi destinasi pilihan, bagi kumpulan pengganas termasuk IS (Daesh), Abu Sayyaf, al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah .
“Penyokong IS yang dihantar pulang dari Turki dan individu yang merancang untuk melakukan perjalanan ke selatan Filipina untuk menyokong kumpulan-kumpulan IS menggunakan Malaysia sebagai titik transit,” kata laporan itu. – 3 November, 2019.
Komen