Permusuhan akar umbi jejaskan kerajaan perpaduan, kata bekas pemimpin MIC 


Ravin Palanisamy

Menurut bekas pemimpin MIC, penyokong akar umbi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional masih tidak dapat bekerjasama berikutan perbezaan pendapat, komitmen dan ideologi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2024.

KERAJAAN perpaduan akan berdepan kesukaran untuk terus ke hadapan selagi penyokong akar umbi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional tidak dapat bekerjasama, kata Sivarraajh Chandran.

Bekas naib presiden MIC itu berkata nampaknya terdapat percanggahan antara kepimpinan tertinggi kedua-dua gabungan itu dan penyokong masing-masing mengenai idea bekerjasama sebagai satu pasukan.

Adalah penting untuk PH dan BN menyelesaikan perkara ini terlebih dahulu sebelum mereka menyahut cabaran yang ditimbulkan oleh Perikatan Nasional, tambah senator itu.

“Apa yang saya tahu, pemimpin parti daripada kerajaan perpaduan dan akar umbi mereka tidak sehaluan.

“Kepimpinan tertinggi mahu bekerjasama tetapi bukan itu yang diterima oleh akar umbi. Mereka berpecah dalam pendapat, komitmen dan ideologi,” kata Sivarraajh kepada The Malaysian Insight.

PH dan BN mengetepikan persaingan lama mereka untuk membentuk kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum lalu.

Dalam waktu singkat, saingan telah menjadi sekutu, menyebabkan penyokong mereka sukar menerima realiti baharu, kata Sivarraajh.

“PH dan BN telah bertelagah selama bertahun-tahun. Dan kemudian tiba-tiba kamu mengharapkan ahli BN berkempen untuk PH dan sebaliknya.

“Ia tidak akan berlaku. Beberapa persengketaan dan dendam berlarutan selama bertahun-tahun dan tidak akan berubah, dan ia akan menjadi sukar untuk meyakinkan akar umbi.

“Sebagai contoh, pemimpin PH telah mengkritik dan menuduh Umno, MIC dan MCA melakukan banyak perkara yang salah dan kini mereka mengharapkan ahli-ahli untuk membuang undi mereka. Ia tidak akan begitu,” katanya.

Bekas naib presiden MIC Sivarraajh Chandran berkata permusuhan dalam kalangan akar umbi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional perlu diselesaikan bagi mengelakkan kesukaran dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. – 27 April, 2024.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keputusan MCA untuk tidak menyokong DAP pada pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei akan datang. Begitu juga, MIC juga mula-mula menyatakan untuk tidak berkempen untuk PH dalam pilihan raya tetapi kemudian berubah fikiran selepas mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan calon DAP mewakili PH manakala Bersatu akan bertanding di bawah panji PN.

Ini telah menjadi kerusi DAP sejak 2013 tetapi sebelum itu ia adalah kubu kuat MCA.

Sivarraajh yang merupakan bekas ketua Pemuda MIC, menyeru dari kedua-dua PH dan BN untuk menyelesaikan semua isu secara baik dan bukannya mendedahkannya kepada umum.

Beliau berkata ini akan melemahkan semangat ahli dan akar umbi untuk bekerjasama antara satu sama lain sebagai sebuah gabungan.

“Kami melihat pemimpin bertelagah secara terbuka dan menyasarkan satu sama lain walaupun mereka berada dalam gabungan yang sama.

“Ini tidak sihat dan ia tidak akan membawa apa-apa faedah.

“Pemimpin perlu menunjukkan contoh yang baik yang boleh diikuti oleh ahli parti dan akar umbi,” katanya.

Sivarraajh merujuk kepada kenyataan baru-baru ini oleh Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh, yang menggelar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sebagai “bodoh”.

Tahun lepas di Perhimpunan Agung Umno, Akmal telah menuntut permohonan maaf terbuka daripada DAP atas semua tuduhan mereka semasa mereka bertelagah.

Beliau berkata adalah perlu untuk memenangi sokongan orang Melayu dan penyokong Umno.

Begitu juga, pemimpin DAP terus mengkritik apa yang didakwa sebagai kegagalan MCA semasa dalam kerajaan.

Jika trend sedemikian berterusan, Sivarraajh memberi amaran bahawa gabungan perpaduan akan menghadapi kesukaran dalam pilihan raya umum akan datang.

Sivarraajh telah keluar dari MIC Jun lalu, berkata beliau mahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai senator dan pemimpin masyarakat India tanpa sebarang halangan, “terutamanya daripada kepimpinan MIC”. – 27 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen