Zahid harap MCA dan DAP selesaikan perbezaan pendapat


Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata perbezaan pendapat adalah proses biasa dalam sistem berpolitik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2024.

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berharap MCA dan DAP dapat menyelesaikan perbezaan pendapat membabitkan pemimpin kedua-dua parti. 

Beliau berkata perbezaan pendapat adalah proses biasa dalam sistem berpolitik dan pernah berlaku membabitkan dua parti yang mewakili kaum Cina dalam BN sebelum ini iaitu MCA dan Gerakan.

“Biarlah mereka selesaikan sendiri, dulu MCA dengan Gerakan macam itu juga,” kata Zahid kepada pemberita selepas mesyuarat penyelarasan bersama kepimpinan tertinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.

Perdebatan antara kedua-dua pihak tercetus selepas MCA dilihat lantang mengkritik beberapa dasar kerajaan menyebabkan DAP mengeluarkan kenyataan keras terhadap parti komponen BN itu.

Antaranya Naib Pengerusi DAP Teresa Kok mendakwa MCA sebagai “sesat” selain mengesyorkan agar ia keluar BN serta memperbaharui hubungan dengan Bersatu dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

Mengenai dakwaan PN sudah memiliki jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menukar kerajaan, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata dokumen tersebut tidak sah.

“Dakwaan ada ahli Parlimen Umno-BN yang menandatangani SD itu juga tidak timbul kerana SD itu sebenarnya tidak ada,” katanya. – Bernama, 9 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen