Memperingati legasi Tun Razak 


Mohd Azizi Jaeh

TIDAK sedikit legasi yang ditinggalkan bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein kepada Malaysia. Beliau membina masa lalu yang gemilang dan kesannya dirasai sehingga generasi sekarang.

Tun Razak yang menyandang kerusi perdana menteri ke-2 tidak hanya menyambung kerja-kerja Tunku Abdul Rahman, malah dalam senario paling mencabar beliau terpaksa  memulihkan kegawatan politik selepas tragedi 13 Mei. 

Memandangkan banyak penghormatan yang diberikan selepas pemergiannya, Tun Razak telah mencetuskan rasa kehilangan dan sayang di kalangan setiap generasi khususnya yang membesar dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), pembangunan pertanian moden Felda, pembentukan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan penerapan Rukun Negara sebagai ideologi negara. 

Bukan setakat itu, institusi seperti Petronas (syarikat minyak dan gas milik negara) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (institusi pengajian tinggi) yang dibangunkan ketika pentadbirannya sedikit sebanyak membentuk keperibadian masyarakat dalam aspek gaya hidup dan cara berfikir selepas usianya menjangkaui 50 tahun.   

Tidak hairanlah, pengalaman dan sejarah Malaysia sebahagiannya terbentuk dalam satu ruang yang ditentukan takrifan dan kerangkanya oleh pengaruh yang ditinggalkan Tun Razak. Walaupun sudah genap 48 tahun pemergiannya, perbincangan mengenai pelaksanaan dan impak pengenalan DEB tetap dianggap relevan (melangkaui zaman) kerana sering dikupas dalam forum awam, penulisan akademik, perdebatan ahli politik dan laporan media untuk tatapan umum. 

Meskipun memegang jawatan perdana menteri tidak sampai enam tahun (bermula 22 September 1970 hingga 14 Januari 1976), namun pengalaman luasnya selaku menteri senior dan orang kanan yang dipercayai oleh Tunku telah menempatkan dirinya sebagai aktor yang berwibawa. 

Awal pemerintahannya selepas rusuhan kaum telah menampakkan ‘darjah kawalan tinggi’ kerajaan apabila parlimen digantung dan pemerintahan diletakkan di bawah Majlis Gerakan Negara (Mageran) untuk menyelesaikan segera perpaduan kaum yang meruncing. Era permuafakatan dan keterbukaan pada era Tunku semacam digantikan dengan pemerintahan yang lebih membataskan demokrasi.

Atas nama mengembalikan semula kestabilan dan perpaduan warga, tindakan menyempitkan demokrasi oleh Tun Razak dan pasukannya dianggap suatu ‘kejahatan yang perlu dilakukan untuk mencegah kemudaratan yang lebih besar’. 

Justeru, naratif yang digambarkan bahawa peristiwa hitam 13 Mei harus menjadi pengajaran bermakna dan kerajaan bertanggungjawab memastikan insiden tersebut tidak boleh berulang lagi. Naratif yang yang ditanamkan itu memberikan impak berganda untuk mengawal kelakuan masyarakat berbilang kaum, di samping mengenakan peraturan yang lebih tegas kepada golongan berpotensi mencetuskan ketegangan. 

Selama beberapa dekad, ketenteraman politik perkauman di negara ini telah berjaya diwujudkan. Walaupun dalam tempoh berkenaan kadangkalanya situasi nampak tegang, tetapi berjaya diuruskan dan dikendalikan dengan baik. 

Tun Razak menyedari bahawa perpaduan kaum tidak akan wujud sekiranya ketidakseimbangan ekonomi Melayu dan bukan Melayu tidak diperbetulkan khususnya dalam soal membasmi kemiskinan. 

DEB yang digariskan salah satu caranya untuk membangunkan komuniti perniagaan Bumiptera-Melayu. Peningkatan peranan negara (state intervention) dalam aktiviti ekonomi bagi pihak orang Melayu mewajibkan syarikat kawalan bukan Melayu mewujudkan perkongsian dengan rakan kongsi Melayu, serta melantik eksekutif kanan Melayu sebagai pekerja profesional bertujuan meningkatkan kawalam modal kaum Melayu. 

Namun DEB yang direncanakan Tun Razak bukanlah formula ajaib yang mampu ‘merawat luka’ kaum sekelip mata. Selepas lebih 50 tahun, ada yang mencapai matlamatnya, ada yang separa berjaya dan ada yang perlu disegarkan semula agar mencapai matlamatnya iaitu keadilan.  

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan madani hari ini untuk melaksanakan dasar yang lebih baik dan berkesan dengan mengambil kira realiti ekonomi dan politik semasa. Cabaran dan masalah baru yang dihadapi negara sekarang sudah pasti jauh berbeza dengan era Tun Razak. 

Pola pengundian berasaskan kaum yang diterima parti kerajaan dan parti pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika tidak ditangani boleh membenihkan bibit perpecahan politik yang serius.

Keadaan itu mampu dikendalikan sekiranya kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim sekarang berupaya mencetuskan sebuah inovasi politik, di samping menjadikan Tun Razak rujukan dan teladan dalam mengembalikan persefahaman kaum. 

Sejarah menunjukkan yang beliau telah memujuk parti-parti pembangkang masa itu (kecuali DAP yang menolak) tentang keperluan mengadakan permuafakatan nasional yang lebih besar. BN yang diasaskannya telah berkembang menjadi gabungan sembilan buah parti, Gerakan dan PAS yang menjadi seteru kuat Umno sebelum itu telah menjadi satu daripada anggota BN.

Komitmen Tun Razak untuk mengembangkan payung besar adalah tanda perdamaian boleh dilaksanakan dengan syarat bersetuju berkongsi kuasa dengan musuh politik. 

Lebih penting lagi, Tun Razak sekiranya masih hidup mungkin mahu dikenang bukan kerana meletakkan BN sebagai empayar politik Malaysia dalam tempoh yang lama, tetapi beliau mungkin mahu dikenang kerana kemampuannnya mendamaikan semua kaum di negara ini.

Biarpun kerajaan sekarang diberikan gelaran kerajaan perpaduan, namun gambaran dan fakta menunjukkan kebanyakan orang Melayu mendukung parti-parti pembangkang berdasarkan keputusan PRU15. Sebagai kerajaan adalah mustahak untuk memimpin negara ini dengan berpusatkan sokongan Melayu kerana Melayu itu teras sepertimana Umno/BN pimpinan Tun Razak dahulu.  

Boleh disebutkan bahawa kembalinya beliau ke rahmatullah menjadi penanda satu era yang bersejarah yang menunjukkan kegigihannya untuk mengeluarkan Malaysia dari kemelut perkauman dengan sasaran merapatkan jurang sosioekonomi antara kaum. 

Perlu diingatkan, orang di sekeliling Tun Razak juga perlu diberi pengiktirafan sebagai pelaku dan penyumbang kepada kejayaan proses perpaduan dan penggubal dasar. Nama seperti James Puthucheary antara contoh tokoh beraliran kiri yang menyumbang idea dalam memikirkan DEB yang jarang ditonjolkan dalam sejarah rasmi. 

Begitulah karektor Tun Razak yang berjaya menghimpunkan pelbagai aliran dan ideologi dalam pembikinan sebuah Malaysia yang bersatu. 

Namun kita tidak boleh terus dibayangi dan terlalu berasa sentimental terhadap legasi lampau yang dibina Tun Razak, sebaliknya generasi penerus yang memimpin sekarang harus mencetus dan mencipta legasi baru selepas ini. 

Seluruh Malaysia pasti merakamkan ingatan abadi terhadap sumbangan dan legasi yang dibinanya selama ini. Begitu membekas! 

Al-fatihah. – 18 Januari, 2024.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen