KKB perlu calon segar, kata penggerak DAP


Salhan K. Ahmad

Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu akan diadakan pada 11 Mei ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2024.

DAP yakin dapat menarik lebih ramai sokongan orang Melayu dalam pilihan raya kecil (PRK) di Kuala Kubu Bharu akan datang dengan calon baharu yang segar dan lebih mesra.

Pada masa sama, pengundi dari segmen Cina, India dan Orang Asli juga akan memberi lebih banyak undi kepada calon baharu parti itu kelak, kata penggerak DAP tempatan.

Sumber DAP Kuala Kubu Bharu berkata keputusan parti memperturunkan penyandang, Lee Kee Hiong untuk penggal ketiga dalam pilihan raya negeri tahun lalu menjejaskan sokongan.

“Orang tempatan tahu mendiang sudah lama sakit kanser. Jadi apabila mendiang bertanding lagi, ramai yang menolak DAP,” kata sumber ketika ditemui The Malaysian Insight.

Jelasnya, keadaan kesihatan Lee tidak mengizinkannya untuk bertemu dengan kumpulan masyarakat dan melebarkan lagi jurang wakil rakyat itu dengan pengundi waktu itu.

“Ketika itu pula waktu pandemik Covid-19, mendiang sangat berisiko jika turun padang,” kata pemimpin cawangan DAP itu yang melihat prestasi khidmat wakil rakyat merudum waktu itu.

Ini kerana struktur parti pada waktu juga menggariskan tanggungjawab ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) menjaga parti di bahagian tersebut dan juga kebajikan rakyat sebagai wakil rakyat.

Katanya, Lee mengambil cuti sakit sejak Mac 2022, yang menyebabkan DUN dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor tersebut ditadbir oleh penyelaras.

“Kemudian dalam bulan Jun, mendiang kata tidak akan bertanding lagi. Tapi tetap jadi calon juga,” katanya.

Penyandang kerusi DUN Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser. – Gambar Facebook, 24 April, 2024.

Oleh sebab itulah keputusan meletakkan Lee sebagai calon sekali lagi disambut dengan protes dari segenap lapisan pengundi dan menyusutkan majoriti kepada sekitar 4,000 undi, katanya.

Jelasnya, protes itu amat jelas apabila orang kuat DAP kawasan itu, Chng Boon Lai keluar parti untuk bertanding menentang Lee dalam pilihan raya negeri itu.

Namun dengan suasana protes di Kuala Kubu Bharu, DAP tetap melebarkan sokongan dengan membentuk tiga cawangan baharu dengan majoriti pengundi Melayu dalam kawasan parlimennya.

Sumber berkata, buat kali pertama DAP berjaya menang di Bandar Utama Batang Kali yang merupakan antara tiga cawangan baharu parti itu di Hulu Selangor.

“DAP ditolak di KKB sebab calon bukan pilihan kita. Kita hendak calon yang boleh buat kerja. Kalau sakit tak payahlah bertanding,” katanya.

Sumber berkata, mereka yakin parti itu selesa dengan undi simpanan sebanyak kira-kira 35% dari pengundi Melayu yang membentuk 46.4% pengundi Kuala Kubu Bharu.

Sokongan dari segmen pengundi tersebut juga kini bertambah baik dengan usaha dilakukan pemimpin muda DAP Mandeep Singh yang membantu sewaktu penyandang kerusi itu sakit.

Dalam keadaan itu, banyak usaha untuk memulihkan hubungan dengan anggota dan pemimpin masyarakat Kuala Kubu Bharu waktu itu ditangani Mandeep, katanya.

Pemimpin muda DAP Mandeep Singh dikenali rapat oleh masyarakat akar umbi dan dikenali sebagai aktivis Bersih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2024.

Sumber berkata, Mandeep dianggap sebagai calon segar dari golongan muda yang rapat dengan masyarakat akar umbi dan dikenali kerana penglibatannya dalam gerakan Bersih.

“Ramai pengundi terutama anak muda kenal Mandeep sebagai penggerak Bersih. Tanpa gerakan Bersih, Pakatan Harapan (PH) tak akan jadi kerajaan waktu ini,” kata sumber,

Selain itu, Mandeep juga dikenali kerana usaha membangunkan Pusat Dalam Komuniti dan menyalurkan peruntukan tambahan dan bantuan kepada komuniti Kuala Kubu Bharu, katanya.

Beliau juga percaya PH tidak dapat meraih lebih banyak sokongan sekiranya memperturunkan calon Melayu dalam pilihan raya kecil 11 Mei kelak kerana tidak ditonjolkan sejak awal.

“Kalau letak calon Melayu, pengundi Cina, India dan Orang Asli akan tolak kerana calon itu tidak muncul sejak awal,” katanya.

Dua lagi yang disebut-sebut sebagai calon PRK itu merupakan dua ahli majlis – Saripah Bakar (Majlis Perbandaran Hulu Selangor) dan Alice Choo Foong Thye (Majlis Perbandaran Selayang).

Selain lebih 46% pengundi Melayu, sebanyak kira-kira 30% lagi terdiri daripada pengundi Cina, India (18%) dan lain-lain termasuk Orang Asli (5%). – 24 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen