Kekalkan wanita wakili Kuala Kubu Bharu


Ravin Palanisamy

Malaysia masih kekurangan perwakilan wanita dalam arena politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2024.

MALAYSIA, walaupun pesat membangun, tetapi jumlah perwakilan wanita dalam arena politik masih kurang memberangsangkan.

Malah bilangan wakil rakyat wanita di negara ini berkurang lagi seorang pada 21 Mac lalu susulan kematian Adun Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong dari DAP akibat kanser.

Mendiang Lee, 58, berkhidmat selama tiga penggal sejak 2013 di DUN Kuala Kubu Baharu yang berada dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor.

Susulan kematian beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PIlihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu diadakan pada 11 Mei ini, dengan 27 April sebagai hari penamaan calon dan hari undi awal pada 7 Mei.

Berdasarkan daftar pemilih terkini SPR, seramai 20,117 (50.01%) pengundi lelaki dan 20,109 (49.99%) pengundi wanita layak mengundi di DUN Kuala Kubu Bharu.

Pilihan raya ini adalah PRK ketujuh yang akan diadakan selepas pilihan raya umum 2022.

Enam PRK sebelum ini adalah di kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Kemaman dan Pulai, serta DUN Simpang Jeram, Pelangai dan Jepak.

Malangnya, dalam enam PRK tersebut tiada seorang pun calon wanita diletakkan, sekali gus menunjukkan penguasaan lelaki dalam arena politik.

DAP berkemungkinan besar akan mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu bagi mewakili Pakatan Harapan (PH), manakala Perikatan Nasional (PN) boleh jadi akan menamakan calon dari Gerakan, seperti yang mereka lakukan semasa pilihan raya negeri (PRN) Ogos tahun lalu.

Tumpuan ketika ini tertumpu kepada DAP, adakah ia akan mengekalkan calon wanita untuk mempertahankan kerusi DUN Kuala Bharu bagi meneruskan legasi mendiang Lee? Atau adakah DAP akan menamakan calon lelaki kali ini, yang sudah pasti akan mengurangkan lagi bilangan wakil rakyat wanita sekiranya parti itu menang kelak.

Baru-baru ini media melaporkan Mandeep Singh, yang merupakan setiausaha politik kepada Pengerusi DAP Selangor dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh, berada dalam senarai teratas parti itu untuk dinamakan sebagai calon mewakili parti itu.

Mandeep sebelum ini merupakan aktivis daripada Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dan dikatakan aktif membantu mendiang Lee di pusat khidmat Adun itu.

Bagaimanapun, Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching pada 6 April lalu dilaporkan berkata sayap wanita parti itu mempunyai beberapa nama berpotensi tinggi bagi mewakili PH pada PRK Kuala Kubu Bharu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman yang juga naib ketua wanita DAP pula dilaporkan berkata, parti itu perlu meletakkan calon wanita untuk meningkatkan kuota penyertaan wanita dalam politik dan golongan pembuat keputusan di peringkat negeri. 

DAP menjadi parti pertama di Malaysia yang menetapkan kuota sekurang-kurangnya 30% wanita dalam kepemimpinan tertingginya iaitu Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC).

Semasa Pilihan Raya Umum ke-15, DAP mempunyai bilangan calon wanita paling ramai iaitu 14 orang.

Semasa pilihan raya negeri yang diadakan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan pada Ogos tahun lalu, hanya 24 daripada 71 calon wanita yang bertanding menang di kerusi yang mereka tandingi.

Daripada 24 calon yang menang itu, lima belas orang termasuk mendiang Lee adalah calon PH, yang meletakkan 26 calon wanita. – 17 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen