Takrif semula miskin tegar selaras ekonomi semasa, kata aktivis


Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) P. Murugiah berkata kenaikan kos sara hidup diburukkan lagi dengan kejatuhan ringgit mengubah pandangan kemiskinan di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2024.

KERAJAAN perlu mengubah definisi mereka yang disifatkan sebagai melarat atau miskin agar sejajar dengan keadaan ekonomi semasa, kata Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) P. Murugiah.

Murugiah berkata kenaikan kos sara hidup diburukkan lagi dengan kejatuhan ringgit mengubah pandangan kemiskinan di negara ini.

Beliau berkata pengelasan kemiskinan juga perlu mengambil kira peningkatan kecil yang berterusan dalam kos sara hidup manakala barangan keperluan tidak lagi terhad kepada bahan makanan asas seperti beras tetapi penjagaan kesihatan dan pengangkutan.

Terdapat juga isu harga pasaran perumahan yang semakin meningkat, kata Murugiah dalam satu temu bual.

PHA ialah badan kebajikan veteran, pakar dalam mengurangkan kebimbangan golongan miskin.

Aktivis veteran itu berkata, pemberian subsidi kerajaan tidak lagi mencukupi untuk mengawal kenaikan kos sara hidup.

“Walaupun kenaikan harga makanan adalah fenomena global, setiap negara mesti mengambil kira kesan buruknya dan mencari jalan untuk mengatasi kesan kemiskinan baharu yang ditemui.

“Keluarga yang dibebani penyakit kronik, hilang upaya dan usia tua wajar diklasifikasikan sebagai golongan miskin baharu di negara ini.

“Mereka mungkin tidak melarat tetapi menderita dan terbeban. Mereka tidak mampu untuk makan di luar kerana harga yang terlalu tinggi,” kata Murugiah.

Beliau berkata di Pulau Pinang, PHA menemui keluarga yang berpendapatan RM3,000 sebulan tetapi RM2,000 daripada itu digunakan untuk menjelaskan yuran ibu bapa mereka yang ditempatkan di rumah jagaan warga emas.

Beliau menambah terdapat juga individu M40 yang tergelincir ke B40 kerana kos penjagaan kesihatan yang tinggi.

M40 ditakrifkan sebagai kelas pertengahan manakala B40 adalah berpendapatan sederhana rendah.

Tinjauan PHA menunjukkan aduan utama keluarga M40 dan B40 adalah kenaikan sewa rumah dan tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Terdapat kenaikan 90 peratus dalam barangan runcit manakala yuran bas sekolah meningkat sebanyak 50%.

Susu formula bayi meningkat 30% dan hasil pasaran basah seperti ikan, ayam, daging, buah-buahan dan makanan laut meningkat 50% berbanding tahun lepas, katanya.

Selain itu kos farmaseutikal juga meningkat sehingga 50%, tambahnya.

Murugiah mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini semasa lawatan ke Pulau Pinang bahawa negeri itu boleh membasmi kadar kemiskinan tegar menjelang pertengahan tahun ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam pada itu berkata kemiskinan tegar di Pulau Pinang hanya terhad kepada 100 keluarga.

Anwar sejak itu mengarahkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bersama-sama kerajaan negeri untuk menangani isu yang dihadapi keluarga ini di negeri berkenaan dan membasmi status kemiskinan mereka menjelang Jun. – 19 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen