Kerajaan peruntuk RM500 juta untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat 


Program Inisiatif Pendapatan Rakyat yang dilancarkan tahun ini telah berjaya meningkatkan pendapatan bulanan lebih 2,000 peserta yang terlibat dengan hasil jualan purata sehingga RM14,000 sebulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2023.

KERAJAAN menyediakan RM500 juta tahun depan untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menambah pendapatan mereka.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ini kerana IPR yang dilancarkan tahun ini telah berjaya meningkatkan pendapatan bulanan lebih 2,000 peserta yang terlibat antaranya di bawah program Insan, dan peserta telah berjaya meraih hasil jualan purata sehingga RM14,000 sebulan.

“Usaha menoktahkan kemiskinan tegar terus menunjukkan kemajuan dengan data terkini menunjukkan kadar kemiskinan tegar telah merudum daripada anggaran satu peratus pada 2020 kepada 0.2 peratus atau hanya 18,000 isi rumah sekarang, yang kita percaya mampu ditangani sebelum akhir tahun ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan bersetuju semua lantikan MySTEP disediakan tawaran mengikuti program peningkatan kemahiran di bawah MyFutureJobs yang akan membuat padanan pekerjaan kepada mereka untuk membina kerjaya masa depan dan meraih pendapatan lebih tinggi. 

Katanya inisiatif itu akan menawarkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bermula Januari 2024.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata kerajaan akan terus menggalakkan golongan mudah terjejas seperti Orang Kurang Upaya (OKU), bekas banduan dan warga emas mendapat pekerjaan dengan gaji bermakna.

Justeru bagi menggalakkan majikan swasta menggaji golongan rentan, beliau berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan insentif khas sebanyak RM1,500 sebulan selama enam bulan untuk menyokong kemasukan lebih 3,300 pencari kerja dengan peruntukan RM30 juta. 

Katanya dasar satu peratus peluang pekerjaan kepada OKU juga akan diperluas kepada golongan bekas banduan dan warga emas melalui padanan pekerjaan MyFutureJobs dan program MySTEP.

“Golongan rentan yang mengikuti MySTEP akan ditawarkan penempatan secara kontrak dengan elaun RM1,500 untuk tempoh enam bulan,” katanya. 

Selain itu, Anwar berkata kerajaan akan meneruskan Program Bina Kerjaya Perkeso bagi memastikan pekerja tidak formal khususnya yang terlibat dalam ekonomi gig mempunyai peluang mengikuti program pembangunan kerjaya dan latihan kemahiran microcredential. 

Katanya, RM35 juta disediakan antaranya untuk membiayai yuran latihan dan insentif gantian pendapatan kepada 9,000 pekerja gig yang menghadiri program latihan. – Bernama, 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen