Ribuan pelajar tidak duduki SPM kerana bekerja, kata pakar pendidikan


Alfian Z.M. Tahir

Pada Isnin Menteri Pendidikan Fadlina Sidek mendedahkan 14,858 atau 3.8% daripada 388,832 calon yang mendaftar untuk SPM 2022 tidak menduduki peperiksaan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun 2023.

BEKERJA antara faktor utama yang menyebabkan lebih 14,000 pelajar di negara ini tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas, kata pakar pendidikan.

Mereka berkata masalah itu boleh menjadi lebih teruk melainkan ada campur tangan daripada kerajaan.

Mereka juga mengaitkan pelajar tidak menduduki peperiksaan pada SPM tahun lepas dengan pandemik Covid-19, menunjukkan pelajar ini mungkin tercicir pelajaran kerana ketiadaan komunikasi dalam talian.

Pakar pendidikan Pusat Pendidikan Komuniti dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Anuar Ahmad berkata majoriti pelajar ini sudah bekerja beberapa bulan sebelum peperiksaan dan ini disebabkan faktor ekonomi.

Pada Selasa lepasa Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata kemiskinan mendorong pelajar untuk tidak menghadiri sekolah.

“Ini adalah masalah sosial yang perlu kita cari jalan untuk menanganinya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Pada Isnin Menteri Pendidikan Fadlina Sidek mendedahkan 14,858 atau 3.8% daripada 388,832 calon yang mendaftar untuk SPM 2022 tidak menduduki peperiksaan itu.

Berdasarkan analisis Kementerian Pendidikan terdapat peningkatan dalam jumlah calon SPM yang tidak menghadiri peperiksaan tahun lalu berbanding SPM 2021 yang menyaksikan 10,681 atau 2.7% calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon yang berdaftar.

Menurut Anuar kebanyakan pelajar yang tidak menduduki peperiksaan SPM berasal daripada keluarga miskin bandar.

Beliau berkata ramai yang mengambil keputusan untuk membantu keluarga selepas tidak mampu menampung kos sara hidup yang tinggi.

“Majoriti mereka yang ponteng peperiksaan SPM sudah pun bekerja. Mereka tidak menduduki peperiksaan kerana memutuskan bahawa mereka tidak mempunyai masa depan dalam pendidikan.

“Kebanyakan mereka sudah pun ponteng sekolah, mereka berasal dari latar belakang keluarga yang miskin, tinggal di bandar besar dan disebabkan kos sara hidup yang tinggi mereka mengambil keputusan untuk membantu ibu bapa.

“Mereka juga tidak berjaya dalam peperiksaan percubaan SPM, justeru ramai yang beranggapan lebih baik mereka bekerja daripada bersekolah,” kata Anuar.

Lebih ramai lagi mungkin tidak duduki SPM tahun ini

Anuar juga khuatir jumlah pelajar yang mungkin tidak menduduki peperiksaan SPM akan terus meningkat pada tahun ini.

Beliau berkata ini mungkin berlaku sekiranya tiada rancangan untuk menangani masalah yang dihadapi oleh pelajar yang dilanda kemiskinan.

“Berbanding 2021 ada peningkatan pada 2022. Kami juga mengesyaki akan ada peningkatan tahun ini jika ekonomi tidak tetap. Jika keadaan tidak diperbaiki, ramai lagi yang akan membuat keputusan untuk membantu keluarga mereka mencari rezeki.

“Pihak sekolah mesti mengenal pasti pelajar ini supaya mereka boleh dibantu. Kementerian mesti bekerjasama rapat dengan sekolah dan menyediakan lebih banyak kelas percuma atau tampil dengan program khas khusus untuk kumpulan pelajar ini,” katanya.

Tambahnya, trend semasa ialah pelajar ini sebahagian besarnya daripada keluarga miskin bandar.

“Mereka tiada pilihan selain berhenti sekolah,” katanya.

Anuar berkata kerajaan perlu memberi perhatian lebih kepada pelajar ini.

“Berikan mereka bantuan khas dari segi kewangan selain memberi mereka kelas tambahan tetapi jika ini tidak ditangani, kita akan melihat peningkatan sekali lagi,” kata Anuar.

Covid-19 juga jadi faktor

Presiden Kesatuan Guru Malaysia Barat Jasni Md Kechik pula berkata pertambahan pelajar yang tidak menduduki peperiksaan juga mungkin disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Hakikat mereka bekerja adalah faktor yang jelas. Itu antara sebab utama. Tetapi saya fikir Covid-19 menyebabkan peningkatan kerana ramai pelajar tidak dapat menghadiri kelas dalam talian dan terlepas banyak mata pelajaran.

“Jadi mereka memutuskan untuk ponteng peperiksaan dan bekerja kerana kemiskinan dan untuk mencari wang,” katanya.

Jasni berkata sekolah juga harus mengenal pasti pelajar miskin dan membantu mereka masuk ke sekolah berasrama penuh.

“Biasanya bagi pelajar yang banyak ponteng kelas, pihak sekolah akan memaklumkan kepada pejabat pendidikan daerah dan kemudian data akan dihantar kepada kementerian dan dari situ tindakan akan diambil.

“Pihak sekolah akan melawat rumah pelajar untuk mengetahui apa yang berlaku dan jika masalah itu tidak dapat diselesaikan kerana kemiskinan tegar, mereka akan dihantar ke sekolah berasrama penuh sekiranya ada jaminan mereka akan bersekolah.

“Dari atas ke bawah, perlu ada kerjasama. Kita boleh mengurangkan bilangan keciciran sekolah pada tahun-tahun akan datang jika kita serius dalam menangani isu ini,” tambahnya. – 15 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen