Usaha noktah miskin tegar tidak tumpu satu kaum sahaja, kata PM


Menurut Anwar, sejak dulu beliau perlu melawan kelompok perkauman sempit sesetengah pihak. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 15 Julai, 2023.

USAHA kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar seperti yang ditetapkan tahun ini sama sekali tidak tertumpu kepada satu kaum sebaliknya meliputi semua lapisan di negara ini.

Perdana Menter Anwar Ibrahim berkata beliau sedar ada pihak yang mendakwa dirinya melindungi kepentingan satu kaum sahaja namun tegasnya, pendirian kerajaan jelas untuk memastikan rakyat di negara ini mendapat hak masing-masing berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

“Jangan tanya saya berapa peruntukan untuk kaum Melayu, kaum India, saya tidak peduli. Ada sahaja jumlah, ada nama kita sahkan, kita tolong. Siapa yang miskin tegar, kita tolong. Kita tolong rakyat susah tak kira kaum,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat India Kedah di Sungai Petani, malam ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami serta Ahli Parlimen Sungai Petani Mohammed Taufiq Johari.

Anwar berkata sejak dulu beliau perlu melawan kelompok perkauman sempit sesetengah pihak.

Tambahnya, beliau sangat menghargai sokongan yang diberikan oleh masyarakat India selama ini dan meminta mereka menyokong kerajaan perpaduan bagi memastikan segala pembangunan yang dirancang dapat direalisasi.

Katanya, beliau sendiri mahu melihat masyarakat India khususnya yang tinggal di estet, keluar daripada kepompong kemiskinan.  

Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia sekitar Sungai Petani dan menerima memorandum masyarakat India Kedah berhubung isu ekonomi, sosial serta pendidikan. – Bernama, 15 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen