Penduduk bantah pertukaran guna tanah untuk insinerator


Noel Achariam

Penduduk Rawang membantah cadangan projek pembinaan insinerator di kawasan perumahan mereka kerana ia akan membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April, 2024.

LEBIH 2,000 penduduk di Rawang, Selangor mengemukakan maklum balas mereka mengenai borang pengezonan semula kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebagai bantahan terhadap cadangan pembinaan loji pembakaran sampah (insinerator) di kawasan kejiranan mereka.

Penduduk berkata borang yang diberikan oleh MPS adalah untuk mendapatkan input mereka mengenai cadangan perubahan daripada tanah kediaman kepada kegunaan industri berat.

Mereka berkata MPS akan mengadakan pendengaran awam mengenai pengezonan semula tanah untuk projek insinerator bernilai RM4.5 bilion di Batu Arang tidak lama lagi.

Jurucakap Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) Esther Woo berkata borang yang diberikan MPS adalah untuk penduduk memberi maklum balas mengenai projek insinerator dan sama ada mereka boleh menghadiri taklimat pihak berkuasa.

Beliau berkata daripada 2,000 orang itu, kira-kira 98% membantah perubahan penggunaan tanah.

“Borang itu adalah untuk memberi maklum balas mengenai Lot 3847 yang dijadikan kegunaan industri berat. Ketika ini tanah itu untuk kegunaan kediaman.

“Ini supaya projek membina insinerator boleh dimulakan. Kebanyakan penduduk membantah projek itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata daripada 2,000 orang yang menyerahkan borang mereka, 720 penduduk bersetuju untuk menghadiri pendengaran awam oleh MPS.

“Semua borang diserahkan kepada MPS pada Februari,” katanya.

Beliau berkata penduduk menantikan perbincangan mengenai pengezonan semula tapak di mana cadangan insinerator itu akan dibina.

“Kami juga sedang mendapatkan pendengaran awam yang berasingan mengenai projek insinerator. Kami mendengar pendengaran awam itu akan merangkumi perbincangan mengenai tiga projek lain.

“Bagaimanapun masa dan tarikh pendengaran awam mereka (MPS) masih belum dapat disahkan,” katanya.

Woo juga berkata mereka mahu melihat laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan sosial (SIA) ke atas projek itu.

“Kami telah pun mendapatkan perunding untuk meneliti laporan EIA sebaik sahaja ia selesai,” katanya.

Penduduk Batu Arang, M Residence, Kota Puteri dan Bandar Tasik Puteri membantah cadangan pembinaan loji tenaga hijau Sultan Idris Shah daripada sisa kepada tenaga.

Mereka juga memohon campur tangan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk menghentikan projek itu.

Pengurusan Sisa KDEB dan YTL Power akan membangunkan projek itu yang meliputi 99.15 hektar.

Woo berkata sehingga kini mereka sudah mengadakan dua protes pada Oktober 2023 dan Januari tahun ini.

Beliau juga menambah pada 7 Mac wakil JRTI mengadakan taklimat di pejabat DUN Selangor bersama ahli Parlimen dan pihak berkuasa berkaitan mengenai projek itu.

“Taklimat ini adalah alternatif kepada pengurusan sisa di Selangor,” katanya.

Pada September Ahli Parlimen Selayang William Leong dilaporkan menentang projek itu dan mempersoalkan risiko mempunyai dua insinerator beroperasi serentak dalam radius 15km.

Insinerator kedua dirancang di Taman Beringin, Kepong tetapi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memindahkannya ke Rawang selepas penduduk membantah.

Leong berkata penduduk bimbang mereka mungkin menghadapi risiko kesihatan dan alam sekitar. – 15 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen