Mayat dalam beg hitam: Polis selesai rakam keterangan saksi


Semalam, satu mayat tidak cukup sifat dan sebuah beg hitam ditemukan orang awam di Kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran susur Rawang Selatan. – Gambar Facebook, 18 Januari, 2023.

POLIS selesai merakam keterangan seorang saksi berhubung penemuan satu mayat tidak cukup sifat dan sebuah beg hitam oleh orang awam di kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran susur Rawang Selatan, di Kuala Lumpur semalam.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata rakaman percakapan saksi yang merupakan orang awam yang menemukan mayat itu diambil pada 4.30 petang semalam.

“Selain itu, hasil bedah siasat terhadap mayat yang dijumpai (mendapati), si mati merupakan seorang lelaki bukan warganegara Malaysia. Sebab kematiannya akibat pelbagai kecederaan daripada senjata tajam.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti sebenar si mati,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Semalam, satu mayat tidak cukup sifat dalam sebuah beg hitam ditemukan orang awam di Kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran susur Rawang Selatan.

Ketika ditemukan mayat itu tidak mempunyai kepala, tangan dan kaki, namun kepala, sepasang kaki dan tangan di dalam beg hitam yang ditemukan disyaki milik mangsa. – Bernama, 18 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen