Terus bantah projek insinerator Rawang, kata Adun Kuang


Noel Achariam

Penduduk Rawang membantah cadangan projek pembinaan insinerator di kawasan perumahan mereka kerana ia akan membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2024.

ADUN Kuang Mohd Rafiq Abdullah berkata penduduk Rawang perlu meneruskan bantahan terhadap cadangan pembinaan loji pembakaran sampah (insinerator) di kawasan mereka sehingga kerajaan Selangor mendengarnya.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu berkata kerajaan perlu mengambil kira suara rakyat yang menentang projek bernilai RM4.5 bilion berikutan kesan risiko kesihatan dan alam sekitar daripada tinggal berhampiran insinerator.

“Mereka merancang projek di sekitar skim perumahan rakyat.

“Saya beritahu DUN, jika mereka fikir projek itu begitu hebat maka buatlah di sebelah rumah MB (menteri besar Selangor),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Rafiq berkata beliau sudah membangkitkan isu itu semasa mesyuarat DUN yang lalu.

“Kami tidak menentang teknologi, tetapi (menentang) lokasi projek itu.

“Kami masih belum melihat sebarang kajian penting untuk mengatakan ia (insinerator) selamat.

“Sebab yang membimbangkan ialah ia akan dibina di kawasan yang mempunyai penduduk yang ramai,” tambahnya.

Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI) akan mengadakan bantahan secara aman pada 21 Januari ini bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di pasar malam Bandar Tasik Puteri.

Jurucakapnya Abdul Hanan Abd Mokti berkata kumpulan itu mahu suara mereka didengari oleh kerajaan negeri.

“Protes ini adalah untuk mengingatkan pihak berkuasa kami masih di sini. Kami sudah membuat beberapa permintaan untuk bermesyuarat tetapi masih belum menerima jawapan.

“(RTI) bukan suara satu atau dua orang, tetapi barisan hadapan yang bersatu menentang projek insinerator,” katanya.

RTI menjangkakan penyertaan antara 500 hingga 1,000 orang, yang merupakan penduduk Bandar Tasik Puteri dan dari kawasan sekitar seperti Kota Puteri, Batu Arang, Coalfields, Saujana, dan M Residence.

KDEB Waste Management dan YTL Power adalah pemaju loji insinerator, yang meliputi kawasan seluas kira-kira 99.15 hektar. – 10 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen