Penduduk Rawang pertimbang tindakan undang-undang henti projek bina insinerator 


Noel Achariam

PENDUDUK di Rawang, Selangor mempertimbang tindakan undang-undang sebagai langkah terakhir terhadap cadangan pemaju untuk membina insinerator bernilai RM4.5 bilion di kawasan kejiranan mereka.

Jurucakap Rangkaian Rawang Tolak Insinerator (RTI), Lam Choong Wah berkata, jika semuanya gagal, barulah mereka akan mengambil tindakan undang-undang untuk menghentikan projek ini.

“Ia (tindakan undang-undang) pilihan terakhir kami kerana ia akan memakan kos dan memakan masa.
 
“Kami sudah pun dalam usaha mendapatkan bantuan guaman. Tetapi, sebelum itu kami mahu gunakan semua saluran komunikasi dengan kerajaan negeri,” katanya kepada The Malaysian.

Beliau berkata mereka perlu mendapatkan penjelasan lanjut daripada penasihat undang-undang mereka mengenai kepada siapa tindakan undang-undang itu akan ditujukan.

Penduduk Batu Arang, M Residence, Kota Puteri, dan Bandar Tasik Puteri membantah cadangan pembinaan loji tenaga hijau Sultan Idris Shah bernilai RM4.5 bilion.

Penduduk juga kecewa dengan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari kerana gagal menerima memorandum mereka membantah projek itu.

“Kami telah pergi ke dua majlis MB pada Oktober dan awal November untuk menyampaikan memorandum kepada beliau tetapi tidak berjaya.

“Dia enggan berjumpa kami dan menerima memorandum kami. Kami kecewa ia tidak berlaku.”

KDEB Waste Management dan YTL Power akan membangunkan projek itu, yang meliputi 99.15 hektar.

Pada Selasa Selangorkini melaporkan KDEB Waste Management berkata insinerator itu dijangka memulakan fasa pertama pembinaannya di Gombak selepas Jun tahun depan.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata loji tenaga mesra alam dan mesra masyarakat itu turut dilengkapi kemudahan infrastruktur sokongan.

“Projek itu akan dimulakan secara fizikal selepas mencapai sasaran penutupan kewangan (FC) pada Jun tahun depan dan tempoh pembinaan adalah kira-kira 36 bulan.

“Semua butiran projek fasa pertama akan dimaklumkan kepada orang ramai melalui proses kajian alam sekitar yang telus dan lengkap serta dijangka siap pada penghujung tahun ini”.

Minggu lepas, semasa pembentangan Bajet Selangor 2024, Amirudin berkata pembangunan loji empat fasa itu mampu membakar 2,400 tan sampah sehari dan menjana 130.5 MW tenaga elektrik.

Katanya, projek yang dibangunkan KDEB itu mengoptimumkan kos pengurusan dalam pengurusan sisa pepejal dengan menjaga kualiti dan kebersihan alam sekitar.

Mengenai kenyataan pemaju bahawa projek itu mungkin dimulakan selepas Jun, Lam berkata mereka merasakan semua pihak mahu melaksanakan projek ini secara terdesak.

“Kami merasakan projek itu terburu-buru, itu tidak betul. Beliau (MB) perlu mendengar pendapat rakyat mengenai projek ini.

Lam, juga berkata mereka akan membawa pakar mereka sendiri untuk meneliti laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebaik sahaja ia didedahkan kepada umum.

“Apabila ia selesai (EIA), barulah ada semakan awam untuk penduduk mengemukakan cadangan atau bantahan mereka.”

Lam menambah, mereka juga telah menghubungi pegawai MB untuk mengadakan sesi town hall bagi membincangkan isu ini dengan panjang lebar.

“Kami telah memanggil untuk mengadakan dialog dengan MB untuk membincangkan isu ini, tetapi masih belum terima sebarang maklum balas.

“Kami mahu secara peribadi menyerahkan memorandum kepada MB. Kami berharap pejabat MB akan menjawab permintaan kami.” – 19 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen