Polis rampas 1,145 pasang kasut Vern


Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kasut itu dirampas dari kedai di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kedah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2024.

POLIS merampas 1,145 kasut daripada Vern’s Holdings Sdn Bhd berikutan dakwaan logo kasutnya menyerupai kalimah ‘Allah’.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kasut itu dirampas dari kedai di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kedah.

Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat, tambahnya.

Tindakan itu dibuat walaupun syarikat itu semalam menjelaskan bahawa tanda yang didakwa menyinggung perasaan itu hanyalah logo.

“Jabatan Siasatan Jenayah akan berkerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menentukan sama ada ia model kasut atau seni khat yang melambangkan kalimah ‘Allah’.

“Juga belum ada tangkapan lagi (mengenai isu) dan kita mahu mengesahkan kesalahan berdasarkan papan tanda terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau juga berkata mereka akan memanggil penjual atau pengilang untuk siasatan.

Semalam, Vern’s Holding menjelaskan bahawa logo pada tapak beberapa kasutnya yang kelihatan seperti tulisan Arab “Allah” adalah corak hiasan.

Vern’s Holding dalam satu kenyataan berkata logo itu tidak bertujuan untuk menghina mana-mana agama.

“Logo itu 100% diinspirasikan daripada siluet tali yang dilekatkan dengan tumit tinggi.

“Kami akui terdapat kekurangan dalam reka bentuk logo yang boleh membawa kepada salah tafsir, sekali gus menyinggung perasaan banyak pihak.

“Pihak pengurusan dengan rendah hati memohon maaf kepada semua dan berharap kebaikan diberikan ruang untuk memperbaiki kesilapan itu,” katanya dalam kenyataan itu.

Syarikat itu menambah ia telah mengambil langkah segera untuk menghentikan penjualan kasut itu dan bersedia untuk membayar ganti rugi kepada pelanggan yang telah membelinya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau mengarahkan Jakim meneliti dakwaan itu.

Beliau turut menyeru agar semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada Jakim dan pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

Kontroversi ini adalah kesinambungan daripada skandal stokign KK Mart baru-baru ini, yang mana stoking yang dijual di premis itu terdapat perkataan “Allah” membawa kepada bantahan orang ramai dan seruan boikot.

Ini turut mengakibatkan serangan yang disasarkan ke atas tiga cawangan KK Mart.– 8 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen