Akmal tuntut syarikat beri penjelasan logo didakwa menyerupai kalimah Allah


Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berkata walaupun daripada pengamatan beliau logo itu kelihatan seperti sebuah kasut tumit tinggi dengan talinya, namun syarikat itu didesak untuk memberi penjelasan segera. – Gambar Facebook, 7 April, 2024.

KETUA Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh memberi tempoh 24 jam kepada sebuah syarikat pengeluar kasut jenama tempatan Vern’s untuk memberi penjelasan mengenai logo pada tapak salah satu rekaannya yang didakwa menyerupai kalimah Allah.

Dalam satu catatan di Facebook hari ini, Akmal berkata walaupun daripada pengamatan beliau logo itu kelihatan seperti sebuah kasut tumit tinggi dengan talinya, namun syarikat itu didesak untuk memberi penjelasan segera.

Kata Adun Merlimau itu, beliau pada mulanya marah apabila mendapat tahu tentang perkara itu di media sosial tetapi ketika membuat semakan beliau terbaca satu posting yang memaklumkan ia adalah logo seperti sebuah kasut tumit tinggi dengan talinya sekali.

“Apabila saya lihat semula,saya mencari sebanyak mana maklumat mengenai logo di tapak kasut sedemikian, dan saya terbaca satu posting yang memaklumkan ia adalah logo seperti sebuah kasut tumit tinggi dengan talinya sekali dan begitu juga dari pemandangan mata saya.

“Ada logiknya di situ tetapi apa sekalipun kita mendesak satu penjelasan yang segera dari pihak syarikat Vern’s mengenai isu ini.

“Jika tiada penjelasan dari pihak kamu dalam tempoh 24 jam,maka jangan salahkan kami jika boikot terhadap produk kamu pula selepas ini,” tulisnya.

Akmal seterusnya berkata umat Islam di Malaysia tidak akan bertindak secara melulu tanpa usul periksa.

“Kami berhusnuzon (bersangka baik) terlebih dahulu dan kami mahukan penjelasan dari pihak kamu.”

Dakwaan bahawa logo menyerupai kalimah Allah tertera pada tapak kasut keluaran sebuah syarikat tempatan muncul di TikTok pada 23 Mac lalu.

Ia mengundang kemarahan orang ramai yang kemudian menggesa jenama itu diboikot.

Dakwaan itu juga timbul ketika isu berhubung stoking tertera kalimah Allah yang dijual di rangkaian kedai serbaneka KK Mart masih belum reda.

Akmal sebelum ini lantang menggesa kempen memboikot KK Mart. – 7 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen