Pemuda BN-Pakatan perlu dialog isu stoking, kalimah Allah


Salhan K. Ahmad

Para pemimpin pemuda kerajaan perpaduan tidak wajar terus berlaga sewaktu serangan ekstrem berkait isu kalimah Allah semakin membimbangkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2024.

SETELAH berminggu-minggu isu jualan stoking tertera kalimah Allah membelenggu negara, barulah kita melihat tindakan yang khusus untuk meredakan keadaan.

Pada hari Selasa kita mendengar Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan situasi semasa berkaitan polemik itu.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Na’im Mokhtar ketika mengumumkan usaha itu semalam turut mengutuk insiden yang berlaku.

Terbaru, satu cawangan KK Mart diserang dengan bom petrol selepas dua cawangan rangkaian kedai runcit sama diserang dengan kaedah sama di semenanjung.

Aaron dan Mohd menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat dan menghukum mereka dengan tindakan setimpal sebagai pengajaran.

Selepas cawangan KK Mart diserang di Bidor dan Kuantan, kes terbaru dikesan berlaku di Kuching.

Bahang daripada kes tersebut dibimbangi akan menjejaskan kestabilan masyarakat, seperti dikhuatiri Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).

Gabungan itu kini merayu agar semua pihak menghentikan boikot dan serangan ke atas jaringan kedai runcit KK Mart.

Lagi pula, individu yang terbabit dengan jualan dan edaran stoking kontroversi terbabit sudahpun dibawa ke mahkamah, menurut ACCCIM.

Apa yang jelas, pihak berkuasa bertindak pantas menahan dan mendakwa pihak terlibat.

Para pengasas kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd sudahpun didakwa minggu lalu atas tuduhan menyinggung perasaan umat Islam dengan jualan stoking kontroversi itu.

Syarikat tersebut turut memohon maaf selepas gambar memaparkan produk stoking tertera kalimah Allah itu tular pada pertengahan Mac lalu. Jualan produk berkenan juga dihentikan serta-merta.

Pemimpin syarikat itu juga menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam bagi memohon maaf.

Namun kita masih belum melihat dengan jelas tindakan terhadap pihak yang mengapi-apikan sentimen agama sehingga timbul kes seperti serangan molotov cocktail ke atas cawangan KK Mart.

Kita tahu, kempen memboikot jaringan kedai runcit KK Mart digerakkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

Kita juga tahu, para pemimpin pemuda parti dalam gabungan kerajaan menyalahkan Akmal kerana mengapi-apikan sentimen agama dalam isu tersebut.

Walau turut mengecam serangan ke atas KK Mart, Akmal tetap tidak berganjak dari pendiriannya dalam kempen memboikot KK Mart.

Kempen memboikot jaringan kedai runcit KK Mart digerakkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2024.

Bagi menjawab kecaman dari rakan pemimpin pemuda Pakatan Harapan, beliau mengutarakan persoalan kepada para pengikut di pelantar media sosial untuk menilai pendiriannya.

Dan tentulah para pengikutnya memanjatkan pujian dan menggemakan sahaja pendirian pemimpin mereka itu melalui komentar di Facebook.

Ada juga kalangan pengikut itu melihat Akmal sengaja dipersalahkan apabila timbul serangan ke atas cawangan KK Mart.

“PKR dan DAP nampak Dr Akmal boleh dijadikan kambing hitam. PKR dan DAP nampak kurang cerdik menyatakan boikot punca kejadian serangan KK Mart.

“Itu kejadian dilakukan individu. Tak ada kena mengena pun dengan boikot,” kata seorang pengguna Facebook dengan nama Mohd Ikhwan Hakeem.

Seorang lagi pengikut, Izal Saizal turut mendapati pendirian Akmal tidak mendorong kepada serangan ke atas cawangan KK Mart.

“YB hanya suruh boikot bukan suruh rosakkan atau bom KK Mart itu,” katanya.

Jelasnya seruan itu sama seperti gesaan untuk memboikot produk lain seperti yang dilancarkan ke atas rangkaian makanan segera KFC dan McDonald’s.

“Tak ada pula sesiapa rakyat Malaysia nak rosakkan kedai atau baling bom ke atas KFC atau McDonald’s,” coret Izal.

Pemerhati politik tentulah melihat keghairahan Akmal mempromosi boikot dan seruannya mempertahankan kesucian Islam dan kalimah Allah berlangsung ketika sokongan Umno terus merosot.

Kita tahu parti itu bergelut untuk meraih sokongan pengundi Melayu yang banyak beralih ke PAS dalam Perikatan Nasional.

Tempelak dari rakan-rakan PKR dan DAP pula tidak membantu Akmal dan Umno untuk meraih keyakinan pengundi pada masa ini.

Kenyataan sumbang yang saling berlaga di antara pemimpin parti ini tidak menunjukkan kekuatan kerajaan perpaduan.

Lalu ada baiknya para pemimpin pemuda parti kerajaan mengadakan dialog terbuka untuk sama-sama membincangkan isu kalimah Allah ini dengan kepala yang dingin.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memerlukan paduan suara barisan pemimpin pemuda parti ini untuk menangani ekstremisme dan memelihara keharmonian kaum dan antara agama. – 4 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen