Polis percaya hanya seorang terlibat serang KK Mart Kuantan


POLIS percaya hanya seorang sahaja suspek terlibat dalam kejadian serangan bom petrol atau ‘molotov cocktail’ di cawangan KK Mart Sungai Isap, Kuantan pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu dipetik Bernama berkata maklumat itu berdasarkan pemeriksaan terhadap beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.

“Justeru, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kita juga akan lihat CCTV lain yang dapat membantu siasatan,” katanya.

Wan Mohd Zahari dalam pada itu menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan tampil bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, tambah beliau.

Tiga cawangan KK Mart telah diserang dengan bom petrol susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah di salah satu cawangan kedai serbaneka berkenaan di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Insiden pertama berlaku di Bidor, Perak pada 26 Mac lalu diikuti di Kuantan, Pahang pada 29 Mac. Kejadian terbaru berlaku di Kuching, Sarawak pada Ahad lepas.

Setakat ini tiada tangkapan telah dibuat tetapi polis sedang menyiasat serangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuching Ahsmon Bajah dalam satu kenyataan dua hari lalu berkata pihak polis sedang giat mengesan suspek disyaki membaling ‘molotov cocktail’ ke cawangan KK Mart di Jalan Satok awal pagi Ahad lalu.

Ahsmon berkata polis menerima laporan kejadian itu daripada pekerja kedai berkenaan.

“Kejadian itu menyebabkan kebakaran satu kotak air minuman yang diletakkan di hadapan kedai serbaneka berkenaan yang terbakar.

“Kebakaran itu dipercayai akibat dibaling botol kaca mengandungi minyak tanah dan kain berwarna kuning,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun, atau denda.

KK Mart dikecam teruk selepas beberapa gambar stoking tertera kalimah Allah yang dijual di cawangannya Bandar Sunway, Petaling Jaya tersebar di media sosial.

Pengasas KK Mart, KK Chai dan isterinya Loh Siew Mui antara lima individu yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 26 Mac lalu atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain  dengan menjual stoking tertera kalimah Allah. 

Chai dan isterinya mengaku tidak bersalah. – 3 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen