Pemukiman PM bersama jemaah menteri fokus ikhtiar lonjak ekonomi negara


Sesi pemukiman pertama di Putrajaya pada Januari tahun lepas antara lain membincangkan soal hala tuju dan penetapan KPI setiap kementerian di dalam kerajaan perpaduan. – Gambar Facebook, 16 Januari, 2024.

SESI pemukiman kali kedua melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama barisan jemaah menteri kerajaan perpaduan yang dijadualkan esok akan memberi penumpuan kepada mencari ikhtiar baharu untuk melonjakkan ekonomi negara.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata permukiman itu juga akan meneliti pelaksanaan dasar-dasar yang telah dilancarkan kerajaan sepanjang tahun lepas.

“Kita akan lihat juga ke hadapan ini, apa lagi pelaksanaaan dasar yang boleh bawa kita terus maju ke hadapan, apa langkah-langkah spesifik yang diperlukan.

“Kita sudah ada prakarsa dari segi peralihan tenaganya (Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara), transformasi digitalnya, pelaburan tetap dan kita nak cari benda baharu untuk tingkat kekuatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Program AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang hari ini yang turut dihadiri Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Sementara itu Anwar berkata soal menoktahkan kemiskinan tegar akan terus diberi tumpuan bagi memastikan tiada negeri tercicir daripada ikhtiar berkenaan. 

Semalam Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata satu sesi pemukiman perdana menteri bersama barisan jemaah menteri kerajaan perpaduan akan diadakan selama dua hari di Cyberjaya bermula Rabu.

Sesi pemukiman pertama berlangsung di Putrajaya pada Januari tahun lepas antara lain membincangkan soal hala tuju dan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap kementerian di dalam kerajaan perpaduan. – Bernama, 16 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen