Pemuda Umno gesa kerajaan kawal sepenuhnya harga barang asas


Pemuda Umno berkata sudah tiba masanya kerajaan mengurus dam mengawal sepenuhnya semua barang makanan asas seperti beras, tepung, minyak dan gula, bukan memberikan hak sepenuhnya kepada swasta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2023.

HARGA makanan sepatutnya dikawal oleh kerajaan, bukan diberikan hak sepenuhnya kepada swasta, gesa ketua Pemuda Umno. 

Dr Muhamad Akmal Saleh berkata sudah tiba masanya kerajaan mengurus dan mengawal sepenuhnya semua barang makanan asas seperti beras, tepung, minyak dan gula.

“Kerajaan perlu menentukan bukan ditentukan oleh mereka,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Adun Merlimau itu mengulas laporan berita mengenai kenaikan harga beberapa produk terpilih keluaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL).

Gardenia KL dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan 30 produknya akan dinaikkan harga antara 10 sen hingga 40 sen  mulai esok (1 Oktober).

Antara produk itu adalah Puazz Sambal Bilis, Sambal Mackerel dan Kari Ayam, Quick Bites Butter Toffee dan Red Beans, Quick Bites Cream Rolls, Numee Yellow Noodle dan Numee Keluarga.

Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menghantar notis meminta Gardenia KL supaya memberi penjelasan.

Timbalan menterinya Fuziah Salleh semalam dilaporkan berkata syarikat terbabit perlu menjawab notis yang dikeluarkan pada Khamis itu, sebagai sebahagian daripada usaha pihaknya bagi mengelak berlakunya kenaikan harga yang tidak munasabah sehingga boleh membebankan rakyat. – 30 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen