KPDN akan lancar Jualan Rahmah Beras, kata Fuziah


Jualan Rahmah Beras akan diadakan bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga beras import serta ketiadaan beras tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September 2023.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melancarkan Jualan Rahmah Beras bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga beras import serta ketiadaan beras tempatan.

Timbalan menteri berkenaan Fuziah Salleh berkata melalui program itu pengguna boleh mendapatkan beras pada harga subsidi menerusi peruntukan RM150 juta yang diluluskan di Parlimen.

“Beras merupakan barang kawalan yang KPDN tiada kuasa untuk mengawal harganya. Akan tetapi apabila hari-hari kita mendengar rintihan rakyat, maka KPDN cuba mencari jalan bagaimana dalam ruang lingkup KPDN kita boleh selesaikan isu kenaikan harga beras import dan ketiadaan beras tempatan seperti yang didakwa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) bagi KPDN di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu katanya menyedari kebergantungan negara kepada barangan mentah yang diimport seperti gula dan bawang, KPDN melaksanakan beberapa mekanisme bagi mengawal harga barangan itu supaya tidak membebankan rakyat.

“Ya sekarang ini Malaysia banyak mengharapkan kepada barang import… sebab itu kita terikat dengan dasar negara lain contohnya India tak mahu eksport gula dan ingin menaikkan cukai eksport bawang, maka tentu ia akan meninggalkan kesan kepada negara kita.

“Bagaimanapun kita cuba kawal sebaik mungkin. Contohnya kita letak harga siling supaya kita boleh kawal seperti gula. Kemudian ada yang kita kawal dan subsidikan seperti telur gred A, B dan C. Di samping itu kita juga ada Jualan Rahmah dan kita beri diskaun 10 hingga 30 peratus,” katanya. – Bernama, 18 September 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen