Jualan Rahmah Beras dilaksanakan di semua kawasan Parlimen, kata menteri


Kerajaan melancarkan Jualan Rahmah Beras bagi meringankan beban rakyat yang tidak berkemampuan dan terkesan dengan kenaikan harga beras di pasaran ketika in. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2023.

INISIATIF Jualan Rahmah Beras akan dilaksanakan di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh. 

Beliau berkata melalui inisiatif itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjual beras import dengan diskaun istimewa serta menjamin harga yang mampu milik kepada semua pengguna. 

 “Kalau pada Jualan Rahmah Bergerak, kita (KPDN) boleh jual beras import 5kg dengan harga lebih kurang RM13 dan RM 14, jadi kita akan cuba sedaya upaya untuk menjual kepada pengguna dengan harga seperti itu juga,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan “Seminar Today’s Malaysian E-Commerce and Consumer Protection Regulatory Framework: The Way Forward” di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata harga diskaun ditawarkan itu merupakan subsidi dengan peruntukan RM150 juta di bawah program Jualan Rahmah. 

Dalam masa sama, beliau berkata inisiatif Jualan Rahmah Beras itu juga akan mengambil pendekatan sama seperti Jualan Rahmah bergerak yang menyasarkan golongan memerlukan seperti di kawasan B40. 

Semalam, ketika sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, Fuziah berkata kerajaan akan melancarkan Jualan Rahmah Beras hari ini bagi meringankan beban rakyat yang tidak berkemampuan dan terkesan dengan kenaikan harga beras di pasaran ketika ini. – Bernama, 19 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen