Baja Rahmah diperkenal dalam masa terdekat, kata Fuziah


Inisiatif baja Rahmah adalah usaha kerajaan bagi membantu mengurangkan beban golongan petani di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2023.

KEMENTERIAN Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan baja Rahmah dalam waktu terdekat sebagai usaha membantu mengurangkan beban golongan petani di negara ini.

Timbalan menterinya Fuziah Salleh berkata pihaknya dalam peringkat rundingan akhir dengan beberapa syarikat berkaitan bagi mengeluarkan baja yang berkualiti pada harga berpatutan.

“Tindakan proaktif ini diambil sebagai satu daripada cara untuk membantu mengurangkan beban petani sayur dan sawit dari segi kos penanaman selain mengelakkan kenaikan harga sayur dan minyak sawit di pasaran,” katanya. 

Fuziah berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah Pantai Selamat Group di Pasar raya Fresh Choice Taman Tas di Kuantan, hari ini, yang turut melibatkan pengagihan 100 bakul Rahmah kepada golongan memerlukan.

Pasar raya itu turut mengadakan jualan Rahmah selama tiga hari bermula hari ini.

Selain itu, Fuziah berkata Jualan Rahmah Bergerak menerusi konsep “Kedai Cari Rakyat” di Pahang dijadualkan bermula pada bulan ini di kawasan kekurangan pasar raya. 

“Kita menyedari ada golongan tiada kenderaan, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas yang sukar ke pasar raya menyebabkan kita yang perlu menyantuni mereka dengan cara mencari mereka,” katanya.

Sejak konsep jualan itu dilancarkan pada 16 Jun lepas di Pulau Pinang, Fuziah berkata sambutan diterima di setiap lokasi pelaksanaannya di beberapa negeri sebelum ini, sangat baik dengan barangan yang dimuatkan dalam lori 10 tan habis dijual dalam tempoh dua hingga tiga jam. – Bernama, 2 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen