CADANGAN exco Melaka Dr Muhamad Akmal Saleh supaya beras tempatan hanya dijual kepada rakyat Malaysia bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan di pasaran tidak masuk akal, kata Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia (Hakam).
Presidennya M. Ramachelvam berkata warga asing di negara ini berhak mendapat keperluan asas, malah cadangan itu sama sekali tidak akan menyelesaikan isu yang sedang dihadapi dalam jangka masa panjang.
“Warga asing ini bekerja secara sah di Malaysia, dan mereka berhak dapat keperluan asas – makanan, tempat tinggal dan pakaian.
“Beras adalah salah satu keperluan asas, jadi tak sepatutnya wujud diskriminasi sama ada seseorang itu warga asing atau rakyat tempatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ramachelvam mengulas cadangan Akmal, exco kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan Melaka, kelmarin yang menyarankan supaya kerajaan mengehadkan pembelian beras tempatan hanya kepada warganegara Malaysia.
Akmal yang juga ketua Pemuda Umno berkata, beras tempatan disubsidi kerajaan, dan selayaknya diberi keutamaan kepada rakyat tempatan ketika bekalan makanan ruji itu semakin berkurangan di pasaran.
“Saya memohon pada kementerian pertanian dan keterjaminan makanan di kala krisis bekalan beras tempatan ini berkurangan agar ada satu polisi dilakukan iaitu pembelian beras tempatan ini hanya boleh dibeli oleh warganegara Malaysia sahaja
“Jika kementerian tidak boleh membenarkan untuk seluruh Malaysia, sekurang-kurangnya boleh dibenarkan dilaksanakan di dalam negeri Melaka sahaja,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Mengulas lanjut, Ramachelvam, yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam, berkata sekalipun cadangan Akmal itu diterima sukar bagi kerajaan untuk memastikan larangan itu dipatuhi.
“Tentu saja majikan boleh beli untuk pekerja. Jadi bagaimana hendak kawal?” – 16 September, 2023.
Komen