Sindiket seludup warga asing tumpu laluan tikus, elak lapangan terbang


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kebanyakan warga asing yang menggunakan khidmat laluan tikus di sempadan adalah mereka yang mempunyai masalah dokumen atau disenarai hitam oleh pihak berkuasa negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2023.

PENGUATKUASAAN ketat di lapangan terbang antarabangsa utama negara pada waktu ini menyebabkan sindiket warga asing menggunakan laluan tikus dan jalan air di sempadan Malaysia-Thailand.

Beberapa warga asing dan ejen sindiket ini mendedahkan modus operandi tersebut kepada The Malaysian Insight, mereka seterusnya menggunakan van dan bas untuk ke Lembah Kelang.

Seorang ejen yang berasal dari India menyatakan rata-rata pelanggan terdiri daripada warga asing yang berasal dari negara tersebut dan juga Bangladesh.

“Untuk yang dari Bangladesh, mereka akan masuk melalui laluan udara dari negara asalnya ke Kemboja sebelum berakhir di Thailand.

“Dari Thailand, kami akan mengatur mereka untuk menyusup masuk ke dalam negara melalui jalan tikus di utara tanah air atau jalan air melalui Sungai Golok,” katanya.

Bagi warga India pula, beliau berkata mereka akan menggunakan laluan udara terus dari India ke Thailand sebelum menggunakan cara yang sama seperti warga Bangladesh.

“Sebaik memasuki Malaysia melalui pintu sempadan, mereka akan dibawa ke Lembah Klang melalui van atau bas.

“Bayaran yang dikenakan adalah antara RM1,500 hingga RM2,800 ikut negara.

“Kebanyakan warga asing yang menggunakan khidmat kami adalah mereka yang mempunyai masalah dokumen atau disenarai hitam oleh pihak berkuasa negara ini,” katanya.

Katanya, sebaik selamat tiba di Lembah Klang, mereka akan dibekalkan sebagai tenaga kerja bagi sektor perladangan, perkilangan dan perkhidmatan iaitu pembantu kedai makan.

“Tindakan penguatkuasaan ketat di pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Mereka masih mahu ke Malaysia untuk bekerja dan disebabkan itu kami menggunakan cara haram untuk membawa mereka masuk,” katanya.

Perkara itu turut diakui seorang warga Bangladesh yang baru tiba di Lembah Klang melalui Sungai Golok.

Menyeberang ke Kelantan

Katanya, sebaik berjaya melepasi sempadan, mereka akan ditempatkan buat sementara di rumah kongsi sekitar perkampungan di sempadan.

“Sindiket itu menempatkan kami di sebuah rumah macam reban ayam untuk dua hari. Laluan masuk melalui jalan tikus pula mengambil masa 18 jam kerana risau dikesan pihak berkuasa.

“Kaki dan tangan cedera terkena duri dalam hutan dan beberapa kali juga saya terjatuh dalam gelap. Pergerakan biasanya dilakukan waktu malam bagi mengelak ditahan,” katanya.

Beliau yang berjaya masuk ke Malaysia untuk kali kedua mengikut jalan tikus berkata, ejen tidak teragak-agak untuk meninggalkan mereka sekiranya berdepan dengan penguatkuasaan di sempadan.

“Ada kawan saya yang ditinggalkan ejen dalam hutan sebaik bertembung dengan polis di sempadan. Dia berjaya sampai ke Bukit Kayu Hitam selepas lima hari berkeliaran dalam hutan.”

Sementara itu, seorang warga India yang baru pertama kali masuk ke Malaysia dengan kaedah tersebut menyatakan tidak tahu mengenai jalan bahaya yang perlu dilaluinya itu.

“Ejen di India menyatakan saya ke Malaysia secara sah dan saya yang tidak boleh membaca dan menulis tidak tahu destinasi yang dituju sebenarnya adalah Thailand bukannya Malaysia.

“Sebaik tiba di Thailand, saya diambil oleh seorang lelaki India, warga tempatan dan dibawa dengan kereta hingga ke sempadan.

“Dari situ kami kena redah sungai (Sungai Golok) sebelum tiba Kelantan. Dari Kelantan pula, saya naik van dengan lima lagi warga India dan seorang Bangladesh hingga ke Klang,” katanya.

Sindiket tumpas

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dan menahan 68 warga asing pada 14 Jun lalu di Kota Bharu.

Operasi Ops Gelombang 3 itu dijalankan untuk mengesan sindiket menyeludup warga asing melalui pengkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Turut ditahan dalam operasi ini adalah tiga lelaki tempatan yang berperanan sebagai transporter bagi sindiket berkenaan.

Berdasarkan maklumat orang awam dan risikan selama dua bulan, operasi itu mendapati warga asing ini akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan dan sekitar Lembah Klang melalui bas.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution pula semalam mengumumkan kesemua 151 pos Pasukan Gerakan Am akan dinaik taraf untuk mengekang kes penyeludupan manusia di sempadan.

Katanya, usaha itu memerlukan kos RM45 memulihkan logistik pos berkenaan yang akan diuruskan dalam masa terdekat bagi menangani kes tersebut yang semakin kerap berlaku.

Ia bagi mengekang jenayah rentas sempadan, pencerobohan pendatang, penyeludupan senjata, dadah, barang keperluan seperti minyak masak dan kontraban, katanya.

Katanya, sebahagian besar pos tersebut didapati dalam keadaan daif dan perlu dibaiki untuk menjadikannya lebih selesa untuk anggota bertugas dan mendiaminya.

Malaysia semakin menjadi perhatian Amerika Syarikat dalam isu pemerdagangan manusia kerana didakwa tidak mencapai keperluan minimum dalam menghapuskan kegiatan itu.

Bagaimanapun, Malaysia didapati melakukan usaha besar ke arah itu, menurut Laporan Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat bagi 2023.

Laporan itu menyebut Malaysia naik ke Tahap 2 dalam senarai pemerhatian negara itu. – 23 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen