Dr M tak harus persoal kesetiaan orang India, Cina di Malaysia, kata Gobind


Gobind Sing Deo berkata Dr Mahathir mesti akui rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina, India, Sabah atau Sarawak bekerja bertungkus-lumus membina negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2024.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak seharusnya mempersoalkan kesetiaan orang India dan Cina di Malaysia terhadap negara ini hanya kerana mereka bercakap dalam bahasa ibunda dan menganuti budaya dan adat mereka sendiri, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata ini kerana Malaysia sebuah negara berbilang bangsa dan kaum dengan warganya terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya.

“Amat malang walaupun sudah menerajui negara ini selama bertahun-tahun, Dr Mahathir masih berasa wajar untuk membuat kenyataan yang bersifat memecahbelahkan terutamanya dalam hal kaum.

“Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf perkara ini dengan jelas kecuali sebagaimana yang dibenarkan secara nyata oleh perlembagaan itu sendiri, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara hanya atas alasan agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang,” katanya.

Gobind berkata, ia juga diterima umum ramai rakyat negara ini bercakap lebih daripada satu bahasa, kebanyakan mereka fasih dalam Bahasa Malaysia dan bahasa ibunda mereka sendiri yang termasuk antara lain Cina, Tamil, Iban atau Kadazan.

“Ini tidak pernah menjadi masalah kepada kami. Sebaliknya, kepelbagaian itulah yang menguatkan kita dan meletakkan kita dalam kedudukan untuk mendapat manfaat daripada dunia hari ini yang sebahagian besarnya bersifat global,” katanya.

Justeru, katanya Dr Mahathir mesti mengakui semua rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina, India, Sabah atau Sarawak bekerja dan masih bertungkus-lumus membina negara ini.

“Tidak salah jika kita datang daripada latar belakang kaum, agama dan budaya yang berbeza atau bercakap dalam bahasa yang berbeza. Kita sememangnya rakyat Malaysia dan setia kepada negara kita,” katanya.

Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan Dr Mahathir mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka dalam satu temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit di India. – Bernama, 14 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen