PM patut fikir isu banjir sebelum adakan PRU15, kata DAP


Pemangku perdana menteri berkata akan berbincang dengan SPR berkenaan pilihan raya jika banjir berlaku di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2022.

PEMANGKU perdana menteri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya memikirkan tentang kemungkinan banjir dan menyiapkan pelan kontingensi sebelum mengadakan pilihan raya umum (PRU), kata Pengerusi DAP Gobind Singh Deo.

Gobind mempersoalkan mengapa penyandang wakil rakyat Bera itu tidak mempertimbangkan isu banjir ketika partinya Umno menekan untuk PRU diadakan pada November.

“Sekarang pilihan raya sudah bermula, anda baru nak cakap mengenainya? Kerajaan jenis apakah ini?,” kata Gond dipetik berkata di Kajang semalam oleh The Vibes.

Gobind berkata rakyat Malaysia berhak mendapat penjelasan daripada Ismail sebelum beliau bertemu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Semalam, Ismail berkata terpulang kepada SPR untuk memutuskan sama ada hari mengundi diteruskan atau tidak jika negara ini dilanda banjir besar.

“Jika banjir besar berlaku hingga menyebabkan orang ramai tidak boleh keluar mengundi, maka saya akan berbincang dengan SPR untuk melihat alternative lain.

“Kami akan berbincang dengan MetMalaysia, Jawatankuasa Pengurusan Bencana, dan SPR juga boleh beri pandangan. Terpulang kepada SPR jika ia mahu menghentikan pilihan raya,” katanya.

Musim monsun dijangka bermula 7 November hingga Mac. Ia mungkin akan menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

Bekas wakil rakyat Klang Charles Santiago turut mengecam Ismail kerana tidak membuat pelan kontingensi untuk PRU15 jika banjir berlaku.

Beliau berkata Ismail sebelum ini berkata kerajaan bersedia untuk mengendalikan banjir.

“Sekarang dia kata dia akan mulakan perbincangan dengan SPR untuk melihat alternatif yang ada jika banjir berlaku. Kenapa dia tidak bincang perkara itu pada mesyuarat terdahulu?,” kata Santiago dalam satu kenyataan. – 7 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen