Santiago tahu PRU14 penggal terakhirnya, kata Gobind


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo menegaskan bahawa bekas ahli Parlimen Klang Charles Santiago tahu tidak akan dicalonkan dalam pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2022.

PERTIKAIAN antara DAP dan bekas ahli Parlimen Klang Charles Santiago tidak menunjukkan tanda akan berakhir dengan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo menegaskan bahawa beliau tahu tidak akan dicalonkan dalam pilihan raya umum akan datang.

Gobind dalam satu kenyataan berkata Santiago telah bertemunya dua kali untuk mendapatkan sokongan bagi mempertahankan kerusi Parlimen Klang.

“Jawatan saya kekal. Charles bertemu saya pada 2013 dan 2018 untuk sokong pencalonannya di Klang.

“Adalah jelas ketika itu bahawa terdapat gesaan supaya dia diganti. Saya tetap menyokongnya dan dia diberi peluang untuk meneruskannya,” kata Gobind dalam satu kenyataan hari ini.

Gobind berkata beliau telah memaklumkan Santiago pada 2018 bahawa sukar baginya untuk meneruskannya selepas tempoh berkenaan, oleh itu, ia akan menjadi yang terakhir.

“Adalah fakta bahawa terdapat gesaan untuk menggantikannya dan dia sedar perkara ini, serta sebab-sebabnya.

“Ini juga sekali lagi dimaklumkan kepadanya di pejabat saya minggu lalu dan dibincangkan antara kami,” tambah Gobind.

Komen Gobind dibuat beberapa jam selepas Santiago menafikan beliau dimaklumkan lebih awal bahawa pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018 akan menjadi pencalonan terakhirnya.

Beliau berkata naratif sedemikian direka oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Ketua DAP Selangor Gobind Singh Deo supaya mereka dapat menangani tindak balas terhadap keputusan parti itu untuk menggugurkan beliau sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

“Adalah malang bahawa mereka menggunakan tindak balas sebegitu memandangkan kritikan awam yang besar (terhadap keputusan mereka).

“Dan walaupun sejauh mana tindak balas itu mengejutkan mereka, adalah tidak wajar bagi kedua-dua Loke dan Gobind untuk membayangkan bahawa mereka membantu saya dengan membenarkan saya meneruskan sebagai ahli Parlimen memandangkan saya tidak memegang jawatan dalam parti.

Santiago, ahli Parlimen Klang tiga penggal, bagaimanapun menggesa pengundi kawasan itu untuk terus menyokong Pakatan Harapan dan mengundi calon baharu DAP, Adun Kota Kemuning V Ganabatirau.

Rabu lalu, Loke mengumumkan bahawa Ganabatirau akan menggantikan Santiago sebagai calon untuk Parlimen Klang.

Ekoran pengguguran Santiago sebagai calon dan kritikan umum terhadap keputusan itu, Loke telah dipetik sebagai berkata bahawa DAP telah bersetuju pilihan raya 2018 akan menjadi kali terakhir Santiago bertanding untuk kerusi itu.

Beliau juga berkata Santiago tahu akan keputusan itu. – 28 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen