Gobind tolak pelawaan Anwar sertai Kabinet


Gobind Singh Deo menolak pelawaan PM menyertai Kabinet kerana mahu memberi tumpuan kepada kawasan Parlimennya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2022.

NAIB Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo berkata beliau tidak menyertai Kabinet kerana mahu menumpukan kepada tugasnya sebagai ahli Parlimen tetapi akan membantu kerajaan persekutuan dalam apa cara sekalipun.

Ahli Parlimen Damansara itu berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim ada meminta beliau untuk menjadi sebahagian daripada Kabinet yang baharu dibentuk.

“Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan perkara itu, saya memaklumkan kepadanya tidak dapat berbuat demikian dan saya akan memberi tumpuan kepada peranan saya sebagai ahli Parlimen dan membantu kerajaan dalam semua cara yang saya boleh untuk bergerak ke hadapan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana meminta saya menjadi sebahagian daripada Kabinet beliau. Saya sekali lagi menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan beliau dan percaya beliau akan berjaya membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi,” kata ahli Parlimen Damansara itu dalam catatan Facebook hari ini.

Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu menyiarkan kenyataan ringkas itu selepas ramai bertanya mengapa beliau tidak tersenarai dalam Kabinet yang diumumkan oleh Anwar semalam.

Calon DAP lain dalam Kabinet ialah setiausaha agungnya Anthony Loke, yang menjadi menteri pengangkutan, Nga Kor Ming (kerajaan tempatan), Hannah Yeoh (menteri belia dan sukan) dan V Sivakumar (sumber manusia).

Perdana menteri mengumumkan Kabinet kerajaan perpaduan 28 anggotanya semalam, sambil menambah senarai timbalan menteri akan diumumkan tidak lama lagi.

Anggota Kabinet baharu yang diumumkan akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini. – 3 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen