CAAM arah periksa sistem kawalan kemudi Boeing 737-8 MAX


PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengarahkan semua syarikat pengendali penerbangan di negara ini menjalankan pemeriksaan ke atas sistem kawalan kemudi pesawat Boeing 737-8 MAX masing-masing bagi mengesan perkakasan yang longgar.

Menerusi notis yang dikeluarkan pada Khamis lalu, menyatakan pengendali diberi tempoh sehingga Rabu depan (10 Januari) untuk berbuat demikian.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Norazman Mahmud berkata pemeriksaan tersebut penting selepas pengendali antarabangsa menemui bolt dengan nat yang hilang pada mekanisme kawalan kemudi pesawat Boeing 737-8 MAX semasa melakukan penyelenggaraan rutin.

“Pengikat memainkan peranan penting dalam memastikan sistem kawalan kemudi berfungsi dengan baik.

“Pemutus sambungan akan mengakibatkan kehilangan rasa positif dan pemusatan pada kedua-dua pedal kemudi kapten dan pegawai pertama, yang akan bertindak balas kepada input pedal juruterbang,” katanya.

Beliau juga meminta syarikat pengendali penerbangan melaporkan hasil pemeriksaan kepada CAAM melalui pemeriksa yang ditugaskan dan juga melalui Sistem Pelaporan Penerbangan CAAM (CAReS).

“Kedua-dua syarikat Boeing dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat memantau rapi hasil pemeriksaan dan menjalankan semakan terhadap kesan keselamatan bagi menentukan sama ada tindakan tambahan diperlukan,” katanya. – 7 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen