AS gantung operasi 171 pesawat Boeing 737 Max 9


Imej yang dimuat naik di media sosial menunjukkan panel tingkap pesawat Boeing 737 Max 9 milik Alaska Airlines tercabut, dengan topeng oksigen tergantung dari siling pesawat. – Gambar Facebook, 7 Januari, 2024.

PENGAWAL selia keselamatan udara Amerika Syarikat (AS) mengarahkan operasi beberapa pesawat Boeing 737 Max 9 digantung sementara susulan panel tingkap salah sebuah pesawat milik Alaska Airlines tercabut ketika melakukan penerbangan pada Jumaat.

Insiden itu menyebabkan pesawat berkenaan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Oregon.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam satu kenyataan di platform X berkata agensi itu telah meminta pemeriksaan segera dijalankan ke atas pesawat Boeing 737 MAX 9 tertentu.

Penggantungan operasi itu melibatkan 171 pesawat model berkenaan, dengan setiap pemeriksaan akan mengambil masa antara empat hingga lapan jam, kata FAA.

“Keselamatan menjadi keutamaan kami dalam setiap keputusan yang dibuat,” menurut kenyataan itu.

Alaska Airlines dan United Airlines menerbangkan paling banyak pesawat MAX 9.

Setakat ini sebanyak 218 pesawat 737 MAX 9 sudah diedarkan ke seluruh dunia, Boeing memberitahu AFP.

Menurut FAA, penerbangan 1282 Alaska Airlines yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland, Oregon ke Ontario pada petang Jumaat terpaksa berpatah balik selepas kru kabin melaporkan ‘isu tekanan’.

Imej yang dimuat naik di media sosial menunjukkan panel tingkap pesawat berkenaan tercabut, dengan topeng oksigen tergantung dari siling pesawat.

“Susulan insiden dalam Penerbangan 1282, kami memutuskan untuk mengambil langkah pencegahan dengan menggantung sementara penerbangan kesemua 65 pesawat Boeing 737-9 milik Alaska Airlines.

“Setiap pesawat hanya akan kembali beroperasi selepas pemeriksaan penuh unit penyenggaraan dan keselamatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Alaska Airlines Ben Minicucci dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Boeing dalam satu kenyataan di platform X memaklumkan pihaknya sedang mengumpul lebih banyak maklumat dan sebuah pasukan teknikal sudah bersedia untuk membantu siasatan. – AFP, 7 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen