Politik Sabah: Hajiji menunggu hari


Mohd Azizi Jaeh

Kerajaan Sabah pimpinan Hajiji Noor pada September 2024 bakal memasuki usia 4 tahun. – Gambar AFP, 7 Januari, 2024.

MELANGKAH tahun baru menandakan hayat politik parti memerintah bakal menuju pengakhiran. Pejam celik, kerajaan Sabah pimpinan Hajiji Noor pada September 2024 bakal memasuki usia 4 tahun. Tempoh yang mana kedudukannya berada di ambang dan mod menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. 

Biarpun perlembagaan menetapkan pemerintahan boleh mencapai tempoh genap 5 tahun, tempoh 4 tahun merupakan saat kritikal yang boleh mendorong PRN diadakan secara mengejut. Dua bulan yang lalu Hajiji selaku ketua menteri tidak menolak kemungkinan PRN mungkin diawalkan atau diadakan pada tahun ini. 

Mengambil kira sejarah politik Sabah yang situasinya sukar dijangka kerana sifatnya yang ‘kejap tenang dan kejap bergelora’, episod merebut kekuasaan dengan cara  menarik sokongan terhadap ketua menteri, memindahkan sokongan kepada parti lain, menyertai serta menubuhkan parti baru bukanlah suatu adegan baru dalam sejarah politik Sabah – pembelotan dan penarikan diri boleh berlaku secara tiba-tiba.  

Cubaan kudeta yang dilancarkan awal tahun lalu antara contoh peristiwa yang mencetuskan situasi panik dan kemelesetan politik di peringkat negeri, bahkan bahangnya turut dirasai di peringkat persekutuan. Kerajaan negeri hampir hilang kelayakan untuk meneruskan kuasa pemerintahan apabila Langkah Kinabalu dikaitkan dengan tindakan Umno dan Warisan untuk menumbangkan Hajiji. 

Selepas Hajiji gagal disingkirkan, keadaan politik Sabah dapat ditenangkan kembali. Namun pergolakan yang pernah berlaku tidak dapat menghakis tanggapan umum yang kedudukan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum stabil. 

Sukar untuk dipastikan yang kedudukan Hajiji dalam keadaan benar-benar selamat kerana sokongan yang diterimanya adalah dari wakil rakyat yang digantung keahlian oleh Umno iaitu Shahelmy Yahya kerana enggan menarik sokongan kepada Hajji. 

Dalam konteks Umno Sabah, satu kumpulan Umno yang dikepalai Bung Moktar Radin mahu menumbangkan Hajiji, manakala satu lagi kumpulan diketuai Shahelmey dan tiga Adun yang lain mahu mengekalkan Hajiji. Namun tiga Adun berkenaan telah pun keluar parti dan kemudiannya menyertai GRS. 

Selain menerima sokongan bekas Adun Umno, Hajiji juga menerima sokongan dari Adun Pakatan Harapan (PH). Namun, politik Sabah yang terkenal dengan elemen kejutan yang mana tidak menghalang Adun atau mana-mana parti menarik diri. 

Sebetulnya, sokongan yang diterima Hajji hasil daripada tindakan lompat parti dari Adun Umno. Antara faktor yang membantu Hajiji ‘bernafas selesa’ kerana episod untuk menggulingkannya itu tercetus ketika Akta Anti Lompat Parti masih belum berkuatkuasa dalam konteks negeri Sabah. )

Maka, perkiraan Hajiji untuk mempercepatkan pilihan raya dan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal mungkin merupakan opsyen untuk memulihkan keyakinan dan mendapatkan semula mandat yang kukuh bagi partinya GRS. 

Seperti yang sering dipolemikkan, pertukaran baju dan lencana parti telah menjadi suatu kelaziman di kalangan sebahagian wakil rakyat di Sabah. Ada yang sinis mengatakan wakil rakyat Sabah mudah dijual beli ibarat barangan kraftangan. 

Tidak menghairankan sejarah kejatuhan Parti Bersatu Sabah (PBS) berpunca daripada pembelotan. PBS yang asalnya memenangi PRN pada Februari 1994 terpaksa menjadi pembangkang. Pairin Kitingan yang baru sahaja sebulan menyandang jawatan ketua menteri  terpaksa berundur dan menyerahkan kuasa kepada Barisan Nasional (BN).

Muslihat politik diatur untuk menarik Adun PBS mengalih sokongan. Menurut saintis politik James Chin, BN menggunakan instrumen kewangan dan paksaan untuk wakil rakyat PBS melakukan pembelotan terhadap Pairin. 

Siapapun ketua menteri Sabah akan berisiko dan mempunyai kebimbangan untuk digulingkan sepertimana sejarah yang dilalui Pairin. Pada Julai 2020 Shafie Apdal tidak terlepas daripada episod wakil rakyatnya mengalihkan sokongan. Namun Shafie berpeluang membubarkan DUN dan membuka laluan PRN secara mengejut. Bagaimanapun, Shafie gagal mendapatkan semula jawatannya berikutan kekalahan partinya kepada GRS dan BN. 

Hajiji yang kemudiannya menduduki kerusi ketua menteri sekarang juga tidak dapat menahan episod yang kerap berulang untuk meruntuhkan kerajaan negeri sebelum habis penggal. Lebih ironi, Langkah Kinabalu tahun lalu dikatakan didalangi oleh pakatan antara Shafie yang juga presiden Warisan dan Bung Moktar. 

Jika mengimbas sejarah, penulis teringat dua bekas ketua menteri iaitu Tun Mustapha dan Harris Salleh pernah berpakat untuk menumbangkan Pairin ketika PRN 1986. Hari ini peristiwa tersebut mirip dan berulang. Bung Moktar dan Shafie (bekas ketua menteri dan timbalan ketua menteri) menyasarkan untuk menjatuhkan ketua menteri sekarang. 

Perlu diingatkan Bung Moktar, Shafie dan Hajiji berasal dan membangunkan karier politik daripada perjuangan Umno, meskipun sekarang ketiga mereka berada di jalur parti yang berbeza. 

Penentang Hajiji juga tidak akan melupakan yang beliau mengambil ‘kesempatan’ dengan bertukar parti dari Umno kepada Bersatu, dari Bersatu kepada GRS yang baru ditubuhkannya demi kelangsungan politiknya. Mungkin keterlaluan untuk mengatakan yang beliau merupakan haiwan politik yang boleh masuk dan tubuh apa-apa parti demi mengekalkan jawatannya. 

Pada satu segi, pengundi Sabah kelihatan lebih berani melakukan eksperimen dan perubahan. Sudah lima kerajaan negeri dari parti berlainan ditumbangkan sejak 1963. Ini mencirikan keunikan politik Sabah berbanding negeri-negeri lain ekoran sering berlaku transisi.

Buktinya, kerajaan Usno digulingkan oleh Parti Berjaya pada 1976. Kerajaan Berjaya yang mentadbir Sabah dua penggal kemudiannya dijatuhkan oleh PBS pada 1985. Kerajaan PBS yang turut mentadbir Sabah selama dua penggal kemudiannya ditumbangkan oleh Umno pada 1994. Kerajaan Umno/BN mengakhiri eranya selama lebih dua dekad apabila kecundang di tangan Warisan plus PH pada 2018. Dua tahun kemudian, Warisan telah ditumbangkan pula oleh GRS plus BN pada 2020.  

Boleh dirumuskan orang Sabah sering menukar pilihan partinya. Perasaan untuk mencuba parti dan gabungan baru bukan suatu yang asing bagi pengundi Sabah. PBS hanya 47 hari ditubuhkan dan berjaya mengambil alih kerajaan negeri, Parti Bersatu (GRS) hanya bertapak 17 bulan di Sabah seterusnya mampu menumbangkan Warisan, Warisan turut mencatatkan sejarah apabila hanya mengambil masa 17 bulan untuk menumpaskan Umno/BN selama lima penggal di Sabah.

Pastinya Hajiji ingin mencipta sejarah baharu untuk meneruskan penggal pemerintahan berikutnya. Untuk mengatasi rekod parti yang pernah memerintah Sabah yang hanya bertahan dua penggal (kecuali kes Umno) bukanlah perkara mustahil. Namun pesaing yang dihadapinya bukanlah calang-calang tokoh untuk dilenyapkan. 

Dalam Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan yang diadakan bulan lalu, ketua Umno Sabah dan presiden Warisan memberi bayangan kedua-dua parti akan mengadakan kerjasama. Umno dan Warisan kini tidak sekadar berperanan sebagai pembangkang, tetapi sedang menampilkan citra sebagai bakal kerajaan (government in waiting) untuk menggantikan kerajaan GRS.

Warisan dan Umno semacam sudah mengisytiharkan perang secara terbuka kepada GRS. 

Masa yang berbaki sekarang penting buat Hajiji menyekat pengaruh Umno-Warisan yang mahu menumpaskannya. Sekiranya gagal mempertahankan kuasa, Hajiji boleh berkira-kira dan mencongak untuk berpindah ke meja pembangkang selepas PRN17.  

Paling penting, sejarah lalu akan terus membayangi impian ketua menteri untuk kekal berkuasa, cuma masa akan menentukan nasibnya sama ada menang atau kecundang. Menang tidak semestinya dipilh rakyat, kalah tidak semestinya tidak berkuasa. Itulah sepak terajang politik Sabah. 

Maka bahang PRN Sabah semakin terasa! – 7 Januari, 2024.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen