Taring JPK Dewan Rakyat masih tumpul?


Fakhrurrazi Rashid

PENUBUHAN Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) merupakan sebuah perubahan yang membawa perubahan signifikan kepada perjalanan Parlimen Malaysia. JPK menjadi asas perubahan budaya dan pendekatan meningkatkan peranan semak imbang Parlimen ke atas badan eksekutif sejak 2018.

Sistem JPK antara perubahan Parlimen yang berhasil dan diteruskan peranannya walaupun kerajaan pusat sering bertukar pasca 2018. Ia bermaksud kesemua parti politik mengiktiraf kepentingan JPK dalam memberi ruang kepada ahli Parlimen meneliti dan memahami isu-isu berkaitan kementerian. 

Kini, terdapat 10 JPK Dewan Rakyat yang ditubuhkan pada Parlimen ke-15 kali ini antaranya JPK Keselamatan, JPK Kewangan dan Ekonomi, dan JPK Kesihatan.  JPK secara asasnya dilihat sebagai ‘kementerian Parlimen’ dalam mengawasi prestasi badan eksekutif. 

Perjalanan sistem JPK di Dewan Rakyat pada tahun pertama Parlimen penggal ke-15 dilihat lebih positif. JPK kali ini menunjukkan kesediaan dan keterbukaan dalam membincang dan meneliti isu-isu semasa yang melibatkan dasar, tadbir urus negara, dan libat urus bersama pelbagai pihak.  

Sikap responsif JPK membentuk dinamik baharu kepada peranan semak dan imbang Parlimen. Dalam tempoh setahun perjalanan JPK Dewan Rakyat, terdapat tujuh penyata laporan JPK yang dihasilkan yang meneliti isu berkaitan penambahbaikan dasar dan penyelesaian isu semasa di ruang awam setakat 30 November 2023. 

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024, Oktober lalu. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 3 Januari, 2024.

Perbincangan konstruktif

JPK Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat menghasilkan tiga laporan berkaitan dasar kanak-kanak dan hak wanita. Antara penelitian yang dibuat adalah hala tuju Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak bagi menggantikan Bahagian Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Jabatan baru yang diumumkan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023, adalah usaha untuk mengatasi isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang semakin serius. JPK meminta penjelasan kepada kementerian tentang keperluan sumber manusia dan perancangan sehingga tahun 2026 untuk memastikan jabatan ini berfungsi dengan baik

Dalam isu kos sara hidup, JPK Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian menghasilkan tiga laporan tentang isu harga barang dan kos sara hidup. Dalam isu minyak masak bersubsidi, JPK mengkaji masalah kekurangan minyak masak berpaket yang menghimpit keperluan masyarakat dan mengesyorkan cadangan mengatasi masalah ini.  

Antara syor yang dipersetujui oleh JPK dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), selain tindakan tegas daripada pihak berkuasa untuk menyekat jenayah penyeludupan minyak masak bersubsidi, adalah meningkatkan kuota minyak masak bersubsidi  kepada 70,000 metrik tan daripada 60,000 metrik tan bagi menampung permintaan rakyat dan peniaga informal atau makro yang semakin meningkat pasca pandemik Covid-19. 

Kerjasama dwipartisan yang diamalkan dalam sistem JPK ini menunjukkan perbincangan teknikal pelaksanaan dasar kerajaan dapat disepakati sekiranya badan eksekutif memberi kerjasama yang baik dalam menerangkan dasar kepada ahli Parlimen. Ahli Parlimen berpeluang memahami selok belok urus tadbir negara bagi mengelak salah faham dan informasi tidak benar ketika berbahas di Parlimen. 

Selain itu, sistem JPK di Dewan Rakyat turut mengiktiraf peranan pembangkang bagi menyemak kementerian paling kanan dalam kabinet. Terdapat dua JPK dipengerusikan oleh ahli Parlimen Pembangkang, iaitu Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) di JPK Pendidikan dan Abdul Latiff Rahman (PN - Kuala Krai) sebagai Pengerusi JPK Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pelantikan ini sudah pasti akan memperkukuh prinsip akauntabiliti dan kebebasan Parlimen menilai kemampuan kerajaan pada tahap yang paling tinggi dan mengelak konflik berkepentingan di antara ahli Parlimen penyokong kerajaan dan menteri.  

Taring JPK masih tumpul?

Walau bagaimanapun, timbul beberapa kritikan apabila taring sistem JPK masih ‘tumpul’ dalam memberi tekanan kepada Menteri untuk bertanggungjawab ke atas dasarnya sehingga perkara tidak dipersetujui JPK dipinggirkan badan eksekutif. 

Ini dapat dilihat apabila bekas Pengerusi JPK Kesihatan (kini Menteri Kesihatan) Dr Dzulkefly Ahmad, kecewa tindakan Kementerian Kesihatan menarik balik klausa Generasi Penamat (GEG) dari Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2023. Walaupun pelbagai libat urus dilaksanakan JPK Kesihatan bersama pakar mengkaji RUU tersebut, KKM masih kekal dengan keputusan menarik balik klausa GEG.  

Episod dilalui JPK Kesihatan ini menunjukkan sisi kelemahan sistem JPK yang perlu diperbaiki agar setiap syor dan teguran mereka itu diambil berat oleh pihak kerajaan. Tindakan tegas JPK ini akan memperkukuh autonomi kebebasan Parlimen menyemak dasar dan RUU dikemukakan kerajaan berdasarkan objektif dan kesannya kepada rakyat terbanyak.  

Bagi bertindak lebih tegas, JPK perlu diberi peranan yang sama besar dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Ini termasuk sokongan dari segi sekretariat, prosiding, dan peruntukan yang setimpal untuk membolehkan JPK menjalankan kajian dengan terperinci, bukan sekadar libat urus semata-mata. 

Peranan media juga diperlukan untuk menonjolkan prosiding, siasatan, dan kerja-kerja semasa yang sedang dilaksanakan oleh JPK Parlimen. Publisiti media ini perlu supaya rakyat dapat melihat perspektif baharu dan kritikal dalam memahami isu semasa. 

Ini juga akan menarik lebih ramai orang awam dan tenaga pakar melibatkan diri dalam perbincangan JPK. Laporan media ke atas perjalanan JPK dapat mengubah pandangan orang awam terhadap Parlimen Malaysia ke arah kerjasama dasar dan dwipartisan, bukan hanya insiden menjerit dan bertengkar di dalam Dewan Persidangan. 

Kesemua reformasi JPK ini akan lebih bermakna jika ahli Parlimen yang menjadi anggota JPK itu sendiri memberitahu tugas mereka kepada orang awam. Kadang kala, sistem JPK sukar menerima perubahan kerana segelintir ahli Parlimen meminggirkan atau tidak memahami bagaimana institusi ini berfungsi. 

Menuju persidangan Dewan Rakyat pada 2024, kita mengharapkan JPK juga dapat memainkan peranan sebagai pendekatan strategik pembangunan dan tadbir urus yang baik buat negara.  Pemerkasaan sistem JPK harus diteruskan untuk membentuk Parlimen yang berfungsi demi mengekang kecuaian dan salah guna kuasa dalam pentadbiran negara. – 3 Januari, 2024.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen