Mencari pembangkang konstruktif di Dewan Rakyat


Fakhrurrazi Rashid

Perikatan Nasional sepatutnya memahami betapa pentingnya tugas pembangkang memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan betul. – Gambar AFP, 16 Disember, 2023.

MESYUARAT Dewan Rakyat sepanjang 2023 telah menyaksikan kekakuan pembangkang Perikatan Nasional (PN) dalam membahaskan isu dan dasar kerajaan secara berkesan. Perbahasan PN di Parlimen lebih tertumpu kepada naratif kaum dan agama, serang politik peribadi dan kepartian, polemik peruntukan kawasan, dan soal perebutan kuasa kerajaan pusat.  

Keghairahan PN mengambil alih Putrajaya dan menjatuhkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus menjadi hasrat pembangkang. Ironinya, lima ahli Parlimen PN secara terbuka menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim untuk mendapatkan peruntukan kawasan. Nampaknya, PN terperangkap dengan percaturan politik sendiri.

Hakikatnya, setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Dewan Rakyat tahun 2023 hilang blok pembangkang yang konstruktif dalam menjalankan fungsi semak dan imbang ke atas jemaah menteri.

Idea pembangkang konstruktif bukanlah sesuatu yang asing dalam politik Malaysia. Konsep ini menekankan keberkesanan pihak pembangkang mewakili suara rakyat dalam memastikan kerajaan tidak cuai dan leka dalam menjalankan agenda atau dasar atas kepentingan rakyat.

Apabila pembangkang yang mampu menyemak dasar kerajaan secara objektif dan kritikal, ia akan memberi tekanan kepada jemaah menteri agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugasnya,

Dalam konteks Malaysia, pembangkang konstruktif ini mula diamalkan dengan aktif pasca PRU12 pada 2008, apabila berlaku jumlah kerusi pembangkang bertambah dan Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Pembangkang pasca-PRU14

Kemampuan pembangkang (ketika itu Pakatan Rakyat dan kemudian Pakatan Harapan) dapat mengubah landskap politik negara dengan berlakunya pertukaran kerajaan pusat buat pertama kalinya pada 9 Mei 2018. Namun, terdapat trend baharu yang wujud yang membentuk pembangkang pasca PRU14.

Pertama, pembangkang berpeluang menjadi kerajaan tanpa melalui pilihan raya kerana jumlah kerusi yang sama banyak dengan kerajaan di Dewan Rakyat. Kedua, blok pembangkang dibarisi ahli Parlimen yang pernah mentadbir Putrajaya. Ketiga, pemikiran dan pendirian mengangkat nilai konservatif dan politik identiti.

BN dan PAS yang membentuk Muafakat Nasional, masih menerapkan prinsip pembangkang konstruktif ketika itu walaupun masih membawa nilai konservatif dan naratif kaum dan agama. BN lebih menonjol memainkan peranan ini dengan merangka Belanjawan Alternatif, pembentukan kabinet bayangan, dan mengawasi pelan ekonomi kerajaan pusat.  

Tetapi, politik sentimen pembangkang menyebabkan berlakunya Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH bertahan selama 22 bulan. Bersatu keluar daripada kerajaan dan membentuk kerajaan bersama BN dan PAS. Situasi ini telah memberi kesan mendalam kepada ketidakstabilan politik tanah air selama 33 bulan.

Tahun 2023 masih lagi memaparkan PN masih mengekalkan ciri-ciri pembangkang pasca PRU14 dan pendekatannya lebih tertumpu kepada politik yang menajamkan pertembungan etnik, agama, dan pendapat sehingga menjejaskan nilai perpaduan negara. Prestasi PN masih jauh untuk dilihat sebagai pembangkang konstruktif.

Laluan PN agak sukar kerana terpaksa berdepan dengan perdana menteri yang cukup masak dengan percaturan pembangkang. Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin pula masih bergelut untuk mempamerkan kebolehan membawa blok pembangkang yang berwibawa dengan hala tuju yang jelas. Persoalannya, apakah PN mampu menambah baik prestasinya pada 2024 dan seterusnya?

Samsuri harapan mengubah pembangkang?

Kehadiran Ahmad Samsuri Mokhtar di dalam Parlimen boleh dilihat sebagai rombakan kecil kabinet blok pembangkang. Penganalisis politik melihat kehadiran Samsuri mampu mengimbangi imej pembangkang yang masih berbicara tentang prinsip tidak berasas seperti mengambil alih kuasa Putrajaya.  

Tetapi, sejauh manakah Samsuri boleh menyatakan pendirian berbeza dengan pemimpin PN yang mahu menjatuhkan perdana menteri dan bermain politik kaum dan agama? Apakah Samsuri boleh membantu ahli Parlimen PN untuk tidak menyokong perdana menteri demi mendapat peruntukan kawasan?

Cadangan melantik Samsuri sebagai ketua pembangkang perlu dilihat dalam pelbagai sudut. Mungkin ada betulnya juga kerusi ketua pembangkang diberikan kepada PAS atas dua sebab. Pertama, PAS mempunyai kerusi terbanyak di blok pembangkang, Kedua, Bersatu masih bergelut untuk menguruskan ahli Parlimen mereka yang menyokong Anwar demi peruntukan kawasan.

Maka, wajarlah kiranya Samsuri menjadi ketua pembangkang bagi membina blok yang berwibawa, kukuh, dan mampu memberi tekanan kepada perdana menteri di Dewan Rakyat. Cuma, meletakkan pembaharuan pembangkang sepenuhnya di bahu Samsuri sahaja tidak cukup.

PN sepatutnya memahami betapa pentingnya tugas pembangkang memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan betul. Pembangkang sepatutnya memanfaatkan keanggotaan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) dalam mengawasi tadbir urus kerajaan pusat.

PN wajar menonjolkan imej pembangkang yang boleh menjadi rakan strategik dengan kerajaan persekutuan. Kerjasama dwipartisan ini akan memudahkan pelaksanaan dasar kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara. Ia dapat mengendurkan imej PN yang sering dilihat agresif dan emosi dalam mengeluarkan pandangan.  

Bagi menguruskan limitasi sumber peruntukan kawasan dan penyelidikan, PN harus mengumpulkan sumber tenaga dan kewangan yang ada untuk membantu ahli Parlimen di kawasan. Ahli Parlimen yang berada di keempat-empat negeri PN boleh berunding meminta peruntukan negeri atau menggunakan program kerajaan negeri untuk memberi sumbangan di kawasan.

Kaedah ini mungkin boleh memudahkan ahli Parlimen pembangkang melaksanakan tugas di kawasan dan tidak terbeli dengan tawaran-tawaran pihak tertentu untuk mengalih sokongan kepada kerajaan pusat.  

Kerajaan perpaduan juga tidak seharusnya diam membisu. Pentadbiran Madani perlu lebih prihatin dalam membincangkan keperluan pembangkang secara terbuka. Sehingga hari ini, rakyat tidak tahu butiran syarat dan terma yang berlaku antara blok pembangkang dan Timbalan Perdana Menteri 2. Sikap ini perlu diubah dan rakyat perlu diberitahu tentang butiran tersebut secara terbuka.  

Jika PN mampu meningkatkan prestasi sebagai pembangkang berwibawa di Parlimen, tidak mustahil rakyat akan melihat mereka menjadi kerajaan pada PRU16. Jika tidak, PN hanya merugikan peluangnya untuk membuktikan kemampuan mereka menjadi kerajaan yang lebih baik daripada kerajaan perpaduan. – 16 Disember, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen