Holocaust sebagai umpan


Hishamuddin Rais

Israel yang dulu menjadi sasaran kezaliman, mangsa pemindahan kini telah terbalik. Zionis Yahudi kini dilihat oleh warga dunia sebagai pembawa kezaliman, pengamal genosid dan punca huru-hara di dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember 2023.

DATA 2022 menunjukkan 90% daripada media di Amerika Syarikat (AS) dikawal oleh hanya enam syarikat: AT&T, CBS, Comcast, Disney, Newscorp dan Viacom.

Walaupun terdapat banyak perkhidmatan berita, kebanyakan berita yang dicetak dan disiarkan di seluruh dunia setiap hari hanya datang daripada beberapa agensi utama.

Tiga agensi terbesar daripadanya ialah Associated Press di AS, Reuters di Great Britain, dan Agence France-Presse di Perancis.

Hampir kesemua syarikat gergasi ini memiliki akhbar, majalah, stesen TV, portal laman sosial dan juga pembikinan filem.

Saya berani berkata syarikat-syarikat inilah yang mengolah jalan cerita dan naratif siasah, budaya dan ekonomi dunia kita hari ini.

Tidak dapat dinafikan syarikat media ini banyak yang dimiliki oleh Yahudi atau oleh saham Yahudi.

Justeru, semua genre media ini akan cenderung untuk bersimpati dengan Yahudi, Zionis dan Israel.

Lalu timbul persoalan – kenapa Eropah dan pemimpin dan warga negara Eropah kini dibaca sebagai pencinta Israel.

Jawabnya: Eropah berasa bersalah kerana terjadinya Holocaust. Rasa salah yang tidak sudah-sudah. Holocaust juga dikahwinkan dengan genosid.

Holocaust ialah pembunuhan sistematik yang ditaja kerajaan terhadap 6 juta lelaki, wanita, dan kanak-kanak Yahudi oleh Nazi Jerman.

Pemusnahan yang sengaja dan sistematik terhadap sekumpulan orang lain kerana etnik, kewarganegaraan, agama atau bangsa yang bukan Yahudi pula diberi nama genosid: Pembunuhan beramai-ramai.

Genosid dijadikan jenayah yang boleh dihukum di bawah undang-undang antarabangsa oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semenjak Disember 1946.

Dengan licik lagi bijak kelihatan perkataan Holocaust ini menjadi eksklusif untuk Bani Yahudi sahaja. Genosid untuk yang lain.

Dari fakta sejarah Holocaust di Eropah berlaku semasa Perang Dunia Kedua. Antara 1941 dan 1945 Nazi Jerman dan negara penyokong Hitler secara sistematik membunuh kira-kira enam juta orang Yahudi di seluruh Eropah.

Angka 6 juta ini kira-kira dua pertiga daripada penduduk Yahudi di Eropah.

Pembunuhan itu dilakukan terutamanya melalui tembakan besar-besaran dan gas beracun di kem pemusnahan, terutamanya Auschwitz-Birkenau, Treblinka, Belzec, Sobibor, dan Chełmno di Poland.

Ini jenayah perang yang dilakukan oleh Nazi Jerman. Hitler menganggap Yahudi mengontrol ekonomi German dan Eropah. Untuk selamatkan Jerman dan Eropah Bani Israel wajib dihapuskan. Ini falsafah Nazi.

Jenayah Hitler ini digunakan oleh kaum Zionis untuk dijadikan umpan peras ugut. Bukan sahaja Eropah yang diperas ugut oleh kaum Zionis malah seluruh dunia juga diperas ugut.

Umpan peras ugut itu ialah Holocaust.

Hari ini sesiapa sahaja yang mengkritik Israel akan dicap sebagai kumpulan anti-Semitik, anti-Yahudi dan juga penyokong Nazi.

Di Eropah hari ini kita boleh mempertikaikan kewujudan Tuhan. Sesiapa saja boleh mempertikaikan kewujudan Nabi Isa atau Nabi Muhammad.

Tapi mempertikaikan dan mempersoalkan kewujudan Holocaust adalah satu jenayah. Holocaust dianggap sakral.

Jika ada sosok yang bertanya dan mempertikaikan apakah betul 6 juta Yahudi mati dalam Holocaust, ini akan ditafsir sebagai satu jenayah yang akan membuka pintu penjara.

Contoh terbaik warga British ialah David Irving. Sosok ini seorang pakar sejarah Perang Dunia Kedua dipenjara selama tiga tahun pada 2006 di Austria kerana mempersoalkan kesahihan Holocaust.

Inilah kekuatan kaum Zionis yang berjaya memeras ugut Eropah untuk terus menyokong Israel.

Zionis berhujah, Israel adalah satu-satunya wilayah yang selamat untuk Bani Israel dalam dunia ini. Bani Yahudi yang ditindas hanya akan selamat di Israel.

Bagaimana kaum Zionis berjaya menggunakan Holocaust sebagai umpan peras ugut hingga ke hari ini?

Jawabnya mudah, melalui media dunia milik kaum Zionis. Media dunia ini akan terus berperanan untuk memastikan cerita Yahudi kena seksa, kena bakar, kena gas dan kena cincang ini terus dijual sepanjang tahun tanpa henti-henti.

Buku kisah Perang Jerman terus diolah, dicetak dan disebar. Saban tahun akan ada sahaja filem Perang Jerman dibuat.

Saban tahun pada 11 November – hari tamat Perang Dunia Kedua – akan ada Yahudi bekas tahanan Nazi akan ditemubual oleh media untuk sarapan dunia.

Malah berapa ramai bekas tahanan Nazi yang masih hidup akan terus dikira sebagai satu berita dunia yang kudus.

Media Eropah akan terus memperingati kisah-kisah keganasan dan kezaliman Hitler di mana Bani Yahudi menjadi mangsa.

Menjadi mangsa ini amat penting. Ini salah satu teknik peras ugut yang mujarab.

Tugu-tugu peringatan didirikan. Seminar, forum dan pameran tentang Holocaust dan Nazi akan berjalan tahun demi tahun.

Muzium didirikan di mana anak-anak sekolah akan datang melawat.

Saya amat yakin angka 6 juta Yahudi mati dibunuh Hitler diketahui oleh umat dunia. Ini hasil dari kerja media pro-Zionis yang menjaja angka 6 juta ini saban tahun.

Dunia sentiasa diberi ingatan agar jangan lupa bagaimana Bani Yahudi menjadi mangsa Nazi Jerman.

Inilah kebijaksanaan media milik Zionis atau media pro Zionis.

Saya juga amat yakin tidak ramai warga Malaysia malah warga dunia pun tidak sedar bahawa dalam Perang Dunia kedua yang paling ramai gugur terkorban adalah warga Rusia bukan Yahudi.

Fakta menunjukkan Kesatuan Soviet Rusia kehilangan kira-kira 27 juta orang semasa perang.

Ini termasuk 8.7 juta tentera dan 19 juta kematian orang awam. Soldadu yang mati ialah 5.7 juta etnik Rusia, diikuti oleh 1.3 juta etnik Ukraine.

Seramai 27 juta soldadu dan warga Rusia terkorban dalam Perang Dunia Kedua ini bermakna satu pertiga warga penduduk Rusia gugur akibat perang. Setiap keluarga Rusia ada yang menjadi mangsa perang.

Lalu saya bertanya – pernahkah kita melihat filem Perang Jerman dari Hollywood atau dari United Kingdom di mana diperlihatkan peranan soldadu Rusia melawan Nazi? Jawabnya pasti tidak pernah.

Saya sendiri dari kecil hanya melihat filem Perang Jerman di mana soldadu Nazi dilihat jahat dan soldadu Amerika digambarkan wira.

Ketika saya ke sekolah menengah hingga ke Universiti Malaya tidak ada langsung pengetahuan saya tentang peranan Rusia dalam Perang Dunia Kedua.

Walhal soldadu Amerika yang gugur hanya 400,000 dan soldadu United Kingdom yang tewas hanya 384,000. Jauh lebih kecil dari jumlah soldadu Rusia yang terkorban.

Ini pengaruh filem Perang Jerman dari Hollywood.

Ini bukan bermakna saya hendak mempertikaikan dan memperlekehkan jumlah Yahudi yang mati, atau jumlah soldadu Amerika dan Inggeris yang gugur. Bukan. Tidak. Bukan.

Saya hendak menunjukkan bagaimana kaum Zionis telah mengkonstruk naratif pemikiran kita melalui filem.

Saya juga amat yakin dunia hingga ke hari ini tidak mengetahui tentang pembunuhan beramai-ramai lebih 500,000 orang Gipsi.

Di Eropah tiada peruntukan dalam kurikulum untuk mengajar dan memberi pencerahan tentang Gipsi sebagai mangsa Perang Dunia Kedua.

Gipsi tidak diajar di sekolah sebagai sebahagian daripada pendidikan Holocaust.

Siapa Gipsi ini?

Gipsi atau Roma berasal dari India. Mereka ini tidak memiliki tempat tinggal. Mereka berpindah randah dari pekan ke pekan dari negara ke negara dengan karavan.

Mereka pengembara mencari makan dengan pertunjukan silap mata, pemain sarkas dan penghibur jalanan.

Media cetak, media elektronik, muzium, pameran memainkan peranan penting untuk menyebar naratif. Tapi pengaruh filem lebih meluas dan lebih mengusik jiwa. Pengaruhnya berpanjangan.

Di London saya berpeluang menonton filem “Au revoir les enfants” atau Selamat Tinggal Kanak-kanak.

Filem 1987 ialah sebuah filem autobiografi yang ditulis, diterbitkan dan diarahkan oleh Louis Malle (1932-1995).

Filem ini mengisahkan Père Jacques, seorang paderi dan guru besar Perancis yang cuba melindungi kanak-kanak Yahudi semasa Holocaust. Filem ini memenangi Golden Lion di Festival Filem Venice.

Di Kuala Lumpur saya berpeluang menonton filem “The Pianist” (2002).

Ini sebuah filem drama perang biografi. Diterbitkan dan diarahkan oleh Roman Polanski, dengan skrip oleh Ronald Harwood, dan dibintangi oleh Adrien Brody.

Filem ini berdasarkan buku autobiografi memoir Holocaust oleh pemain piano dan komposer Poland-Yahudi Władysław Szpilman, seorang yang terselamat dalam Holocaust.

Filem The Pianist pada hemat saya amat tinggi mutu seninya. Filem ini memenangi pelbagai hadiah tersohor dalam dunia filem.

Ada satu perkara yang saya ternampak dan ingin saya nyatakan di sini.

The Pianist hasil buku garapan sosok Yahudi, cerita dan kisah Yahudi. Pengarah dan penerbit Roman Polanski seorang Yahudi dan Adrien Brody pelakon Yahudi.

Saya tidak tahu dana sebanyak AS$32 juta dari mana. Mungkin dari pelabur Yahudi. Ini bukan kerana saya anti-Yahudi. Apa yang ingin saya paparkan bagaimana Holocaust terus dijaja.

Apa yang sahih filem adalah bentuk seni yang amat halus. Lagi tinggi pencapaian seninya lagi berjaya naratif yang dibawa. Lagi ramai terpengaruh.

Semua ini membuktikan bagaimana Holocaust telah menjadi umpan pada Eropah dan pada dunia agar kita terus melihat Yahudi sebagai mangsa.

Tetapi setelah serangan gerila Hamas pada pagi Sabtu 7 Oktober 2023 semuanya berubah. Paling jelas ialah naratif Holocaust kini mula retak terbarai.

Paling jelas ialah munculnya gelombang baru – kesedaran baru oleh warga dunia.

Israel yang dulu menjadi sasaran kezaliman, mangsa pemindahan kini telah terbalik.

Zionis Yahudi kini dilihat oleh warga dunia sebagai pembawa kezaliman, pengamal genosid dan punca huru-hara di dunia.

Yang ditindas kini jadi penindas.

Paling menarik ialah gelombang Bani Yahudi sendiri yang mula lantang bersuara menentang kaum Zionis. Siapa mereka ini? Tunggu minggu hadapan. Amin. – 15 Disember 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen