Kenapa Lim Kit Siang main isu 3R, soal Puad Zarkashi


Pemimpin Umno Puad Zarkashi berkata Lim Kit Siang tidak sepatutnya membangkitkan isu kaum dengan mempersoalkan hak orang bukan Melayu dilantik menjadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember 2023.

VETERAN DAP Lim Kit Siang tidak sepatutnya membangkitkan isu kaum dengan mempersoalkan hak orang bukan Melayu dilantik menjadi perdana menteri, kata pemimpin Umno Puad Zarkashi.

Katanya, Lim tidak patut memaksa dan mengungkit lagi isu jawatan perdana menteri bagi orang bukan Melayu kerana tidak melibatkan isu perlembagaan.

“Tidak timbul soal perlembagaan. Tidak timbul isu kebebasan bersuara. Kenapa setelah bersara politik dan dapat (gelaran) Tan Sri masih main isu 3R?”

Puad juga menjangka, Malaysia memerlukan tempoh sehingga 100 tahun lagi untuk kematangan yang membolehkan orang bukan Melayu memimpin sebagai perdana menteri.

“Maka biarlah kematangan politik mengambil tempat secara natural. Bukan dipaksa. Tidak perlu diungkit ungkit dan dijadikan isu sensasi,” katanya lagi.

Kenyataan Lim mengenai hak orang bukan Melayu dilantik menjadi perdana menteri disebut di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu dalam ucapan kepada pelajar Malaysia.

Ucapan berkait gagasan “Impian Malaysia” itu menyebabkan Lim disiasat polis semalam, yang seterusnya menimbulkan kemarahan sesetengah pemimpin DAP dan pertubuhan hak asasi.

Kenyataan Lim itu muncul sewaktu Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditekan untuk mengadakan rombakan Kabinet. – 14 Disember 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen