Chin Peng: Kelab DAP Veteran lapor polis terhadap Siti Mastura


Lim Guan Eng mengambil tindakan saman ke atas Siti Mastura. – Gambar Facebook, 11 November, 2023.

KELAB DAP Veteran Kebangsaan hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad berhubung dakwaannya yang mengatakan Pengerusi DAP Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan komunis Chin Peng.

Pengerusinya Lay Hock Peng berkata pihaknya membuat laporan polis itu supaya tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa terhadap Siti Mastura kerana tindakannya seolah-olah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

“Saya menonton rakaman ucapan Siti Mastura pada sebuah majlis yang diberi nama ‘Himpunan Jentera Muslimat & Ameerah P.040 Kemaman’ (pada 4 November lepas) menerusi laman YouTube dan pada minit ke-24 rakaman itu.

“Saya mendapati satu siri dakwaan tidak berasas yang berunsur fitnah jahat diucapkan beliau membabitkan Lim Kit Siang dan keluarga beliau…mengaitkan keluarga terbabit dengan Chin Peng,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di Kepala Batas, hari ini.

Fitnah yang diucapkan Siti Mastura itu katanya berkali-kali dibuktikan palsu dan jahat malah sehingga hari ini tidak pernah ada sebarang bukti dikemukakan untuk menyokong dakwaan palsu itu.

Laporan polis ini merupakan yang kedua dibuat pemimpin DAP selepas Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid di IPD Brickfields, semalam.

Sebelum ini, Guan Eng memberi masa dua hari (hingga Khamis lepas) untuk Siti Mastura mengemukakan bukti berkenaan dakwaan itu dan selepas tempoh 48 jam tamat beliau memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen PAS itu. – Bernama, 11 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen