Membaca perubahan Kabinet kerajaan perpaduan


Fakhrurrazi Rashid

Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat kabinet baharu yang pertama, semalam. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 14 Disember, 2023.

PERUBAHAN kabinet kerajaan perpaduan boleh dianggap sebagai keterbukaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperkemas pasukannya selepas setahun berada di Putrajaya. Keputusan ini menunjukkan sikap bertanggungjawab Anwar selepas prestasi pentadbirannya kurang meyakinkan rakyat berdasarkan kajian tinjauan dan persepsi rakyat di bawah. 

Pertukaran jemaah menteri ini adalah hak perdana menteri dan menjadi satu perkara biasa dalam sistem demokrasi berparlimen. Segelintir pihak menganalisis saiz kabinet kerajaan perpaduan bertambah dan membandingkan jumlah tersebut dengan kabinet Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob sebagai indikator dalam mengukur kekuatan Anwar. 

Tetapi, perubahan kabinet ini harus dibaca dan difahami dengan lebih mendalam dalam memahami aspek-aspek yang mahu diterjemahkan perdana menteri dalam aspek keputusan politik dan usaha untuk melancarkan pelaksanaan dasar di peringkat kementerian itu sendiri. Jadi apa yang kita boleh baca dengan penyusunan kabinet Anwar?

Terdapat beberapa misi utama penyusunan kabinet baharu ini. Pertama, meningkatkan kelancaran dan kecekapan pengurusan ekonomi dan kewangan kerajaan. Kehadiran Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II (MKII) dilihat mampu membantu tugas menteri kewangan dalam membuat beberapa keputusan dan menarik golongan korporat untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan.

Selari dengan misi perdana menteri

Kedua, kabinet ini berusaha menarik beberapa sokongan daripada beberapa segmen pengundi. Kemasukan semula M Kulasegaran dan R. Ramanan sebagai timbalan menteri adalah untuk mengembalikan kepercayaan pengundi India yang semakin kritikal kepada kerajaan perpaduan.

Kehadiran Zulkifli Hasan sebagai timbalan menteri agama juga adalah langkah strategik untuk menangkis sentimen kaum dan agama pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) yang gagal ditangani menteri agama selama setahun kerajaan perpaduan.

Selain itu, kemasukan Dr Dzulkefly Ahmad dan Johari Abdul Ghani adalah untuk meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan perpaduan atas kredibiliti dan kepimpinan kedua-dua tokoh itu yang berprestasi baik di dalam kerajaan terdahulu. 

Ketiga, delegasi tugas bagi meringankan beban pentadbiran juga aspek yang ditekankan dalam jemaah menteri kali ini. Pengasingan kementerian komunikasi dengan kementerian digital dijangkakan dapat membantu aspek komunikasi kerajaan yang tidak berkesan dalam setahun. Bebanan Anwar yang perlu menguruskan wilayah persekutuan dan kementerian kewangan telah diatasi dengan kewujudan semula kementerian wilayah.

Corak pembentukan kabinet kerajaan perpaduan ini selari dengan ketegasan Anwar untuk melaksanakan perubahan ekonomi dan tadbir urus negara secara agresif selepas setahun di Putrajaya. Pasukan ini mampu memberi impak besar kepada perubahan yang diinginkan sekiranya berada di landasan yang betul.

Rombakan kabinet diumum Anwar Ibrahim setahun selepas pentadbirannya. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 14 Disember, 2023.

Persoalan-persoalan lain

Di sebalik misi kabinet baharu ini, ia juga tidak terlepas daripada persoalan-persoalan penting. Contohnya, mengapa kementerian sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim dipecahkan kepada kementerian peralihan tenaga dan daya guna awam yang kini dipegang Timbalan Perdana Menteri II Fadillah Yusof?

Pemberian portfolio ini kepada Fadillah dilihat sebagai untuk mengimbangi kuasa TPM I dan TPM II. Ini kerana, TPM I yang memegang Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menerima peruntukan lebih RM11 bilion dalam Belanjawan 2024 berbanding TPM II, merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi (MPIC) yang hanya mendapat peruntukan sebanyak RM727 juta. 

Dari sudut yang lain, kementerian sumber asli, alam sekitar, dan perubahan iklim mendapat peruntukan sebanyak RM7.1 bilion dalam Belanjawan 2024, yakni lebih tinggi daripada MPIC dan TPM II. Justeru, kementerian baharu ini akan mengukuh kedudukan TPM II yang memegang kementerian dengan peruntukan lebih tinggi dan setimpal.

Portfolio dan peranan baharu Fadhilah adalah kemenangan terbesar kerajaan negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang turut berbelanja besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan tenaga hidrogen hijau berbilion ringgit dengan syarikat luar negara seperti China dan Korea Selatan, di samping mandat Fadillah dalam menguruskan hal ehwal Sabah dan Sarawak. 

Ramai juga menyangka Johari Ghani dilantik MKII. Pelantikan tokoh korporat sebagai MKII mempunyai risiko kepada kerajaan. Selalunya, MKII menjadi gate keeper kepada menteri kewangan dan tahu selok-belok politik untuk berdepan dengan kritikan pembangkang. 

Di zaman Najib Razak, Johari Ghani adalah MKII yang boleh menepis persepsi pembangkang di Parlimen sewaktu isu 1MDB tular. Dr Mahathir Mohamad pernah mempunyai MKII yang berpengalaman dalam politik dan memahami dasar ekonomi seperti Allahyarham Jamaludin Jarjis dan Mustapa Mohamed.

Soalnya, apakah Amir Hamzah mempunyai kemampuan berdepan dengan tekanan politik pembangkang di Parlimen? Dan sejauh manakah Lim Hui Ying, bekas timbalan menteri pendidikan yang tidak popular dalam kalangan rakyat dan kurang pengalaman dalam selok-belok dasar kewangan, mampu membantu menteri kewangan dalam pentadbiran?

Nampaknya, kementerian kewangan berada di zon bahaya dan berhadapan dengan tugas besar untuk mengurus kewangan negara di samping provokasi politik daripada pembangkang PN. 

Boleh dianggap juga, langkah tidak melantik Johari Ghani sebagai MKII kerana kebolehannya dalam memahami selok-belok kementerian boleh menggugat kedudukan menteri kewangan. Ia juga satu isyarat bahawa naib presiden Umno tidak boleh mempunyai jawatan yang lebih tinggi, lebih penting, atau hampir sama dengan jawatan presiden Umno sebagai TPM.

Perubahan kabinet kerajaan perpaduan ini boleh disifatkan sebagai langkah proaktif perdana menteri meningkatkan prestasi dan daya tahan pemerintahan berbaki empat tahun lagi. Apa yang lebih penting, prestasi menteri hari ini harus dilihat secara kolektif dan bukan individu semata-mata.

Persoalannya, apakah jemaah menteri ini tidak mengulangi kesilapan kabinet terdahulu? Sejauh manakah mereka yakin bertahan untuk empat tahun lagi? Mampukah mereka menepis sentimen dan naratif pembangkang? Sama-sama kita nilai dan perhatikan. – 14 Disember, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen