MAHKAMAH Pilihan Raya hari ini menolak petisyen untuk membatalkan kemenangan Adun Gombak Setia Muhammad Hilman Idham pada pilihan raya negeri Ogos lalu, lapor media.
Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Abdul Wahab Mohamed yang bersidang sebagai hakim mahkamah pilihan raya menolak petisyen yang dikemukakan oleh seorang pengundi kawasan dewan undangan negeri Gombak Setia yang mendakwa menerima RM150 antara 4 dan 5 Ogos lalu sebagai dorongan untuk mengundi.
Keputusan Hakim Abdul Wahab sekali gus mengekalkan Hilman sebagai wakil rakyat yang terpilih.
Dalam reaksinya, Hilman menganggap keputusan mahkamah hari ini telah menegakkan keadilan dan memberi makna besar bukan saja kepada dirinya tetapi juga untuk pengundi Gombak Setia.
“Usaha petisyen ini juga adalah satu cubaan untuk mengkhianati dan memperkotak-katikkan mandat yang telah diberikan oleh para pengundi DUN Gombak Setia.
“Justeru, keputusan hari ini telah memberi keabsahan kepada mandat para pengundi DUN Gombak Setia yang memilih Perikatan Nasional,” katanya.
Hilman juga berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang susulan terhadap mereka yang mencemar nama baik dan reputasinya serta cuba meremehkan demokrasi.
“Individu-individu ini telah dikenalpasti untuk tindakan lanjut dalam masa yang terdekat,” tambahnya.
Pada pilihan raya Selangor pada 12 Ogos, Hilman menang kerusi DUN Gombak Setia mengalahkan calon Barisan Nasional, Megat Zulkarnain Omardin dan calon bebas, Salim Ali dengan kelebihan hanya 58 undi.
Hilman mengumpul 30,299 undi manakala Megat Zulkarnain mendapat 30,241 undi sementara calon bebas yang mendapat hanya 1,076 undi hilang wang deposit. – 11 Disember 2023.
Komen