PRU15: Sektor pendidikan antara keutamaan 2 calon Parlimen Gombak


Amirudin Shari yang bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan berkata pendidikan menjadi antara keutamaannya kerana ia adalah ruangan untuk mengubah kehidupan generasi akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 November, 2022.

MENYEDIAKAN dan memperluaskan sistem pendidikan menjadi antara keutamaan dua daripada lima calon bertanding kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya memperoleh mandat daripada rakyat.

Menyuarakan perkara itu ialah Megat Zulkarnain Omardin mewakili Barisan Nasional (BN) dan Amirudin Shari yang bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH).

Megat Zulkarnain berhasrat mendapatkan 30% kuota khas kemasukan ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak kepada anak-anak kelahiran daerah berkenaan yang melepasi merit atau kelayakan untuk menuntut di institusi awam tersebut.

Ini katanya kerana satu daripada faktor UIA dibina di Gombak disebabkan perjuangan pemimpin tempatan terdahulu yang menolak cadangan kerajaan untuk membina sebuah empangan di daerah tersebut dalam lewat 1970-an.

“Kalau terbinanya empangan Gombak ini maka ada beberapa kampung di kawasan Gombak akan hilang dari peta dunia seperti Kampung Sungai Pusu, Kampung Sungai Cincin dan Kampung Batu 8…maka pada waktu itu bangkit beberapa pejuang Melayu dari Gombak membuat protes dan akhirnya berjaya.

“Empangan yang sepatutnya dibina di Gombak diubah ke kawasan Batu…selepas lokasi empangan itu berpindah tanah, ketika itu kerajaan bercadang untuk membina UIA di tanah tersebut yang pada asalnya untuk membina sebuah empangan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri program Pertemuan Bersama Guru-guru Tadika Kemas Parlimen Gombak hari ini.

Berdasarkan perjuangan itu beliau berkata justeru anak kelahiran Gombak wajar diberikan keutamaan melanjutkan pelajaran mereka di universiti berkenaan selain dapat memudahkan urusan serta meringankan bebanan kos sara hidup penduduk terutamanya golongan B40 di Gombak.

“Paling penting saya idamkan adalah anak Gombak yang belajar di UIA untuk membuat kelas tuisyen sekiranya berkelapangan malah saya sanggup taja untuk mereka mengajar anak-anak Gombak yang kurang cemerlang dalam akademik,” kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu.

Megat Zulkarnain berdepan persaingan lima penjuru melibatkan Amirudin, penyandang kerusi Parlimen Gombak iaitu Mohamed Azmin Ali mewakili Perikatan Nasional (PN), calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir dan calon Bebas Zulkifli Ahmad.

Sementara itu Amirudin pula berkata memandangkan banyak kawasan di Gombak merangkumi kumpulan bercampur aduk iaitu antara kelompok M40 dan B40 maka pendidikan menjadi antara keutamaannya kerana ia adalah ruangan untuk mengubah kehidupan generasi akan datang.

Dalam hal itu beliau yang juga Menteri Besar Selangor ingin memperluaskan beberapa inisiatif berkaitan pendidikan di peringkat negeri ke peringkat kebangsaan seperti Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS).

“Beberapa inisiatif di peringkat negeri (Selangor) boleh diperluaskan ke peringkat kebangsaan contohnya IKTISASS, kita boleh kembangkan lebih advance berbanding pengumuman pada 2018. Kalau ada rezeki di peringkat persekutuan, saya sedia menyumbang idea itu,“ katanya selepas hadir program Hi-Tea Bersama Penduduk Flat Samudra.

IKTISASS adalah inisiatif Kerajaan Selangor bagi memberi peluang kepada milenial menggarap latihan kemahiran demi menjamin kebolehpasaran dengan pendapatan tinggi dan meningkatkan rantaian nilai modal insan. – Bernama, 9 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen