Amirudin ikrar derma semua elaun ahli Parlimen untuk bangunkan Gombak


Calon PKR di Parlimen Gombak Amirudin Shari berjanji akan mendermakan elaun bulanan ahli Parlimennya untuk menaikkan semula kawasan Parlimen itu jika beliau menang dalam PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2022.

AMIRUDIN Shari berjanji untuk mendermakan elaun bulanan ahli Parlimennya bagi menaikkan semula kawasan Parlimen Gombak jika beliau memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon PKR yang merupakan menteri besar Selangor berkata elaun ahli Parlimen Gombaknya akan disalurkan ke Dana Komuniti Gombak jika beliau memenangi kerusi itu.

Menteri Besar Selangor itu berkata dana itu akan digunakan bagi menambah baik infrastruktur dan kemudahan tempatan untuk manfaat penduduk Gombak.

“Dana Komuniti Gombak adalah satu inisiatif di mana saya akan menyumbang gaji saya sebagai ahli Parlimen… Saya juga akan mempelawa sektor swasta dan awam untuk menyumbang kepada dana itu,” katanya hari ini semasa pelancaran manifesto Gombaknya yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Antara manifestonya termasuk infrastruktur yang lebih baik, mengagihkan 10,000 komputer riba dan tablet percuma dalam tempoh lima tahun bagi memastikan pelajar tidak tercicir pembelajaran dalam talian.

Amirudin akan bersaing dengan calon daripada Perikatan Nasional Azmin Ali yang juga bekas menteri besar Selangor, Megat Zulkarnain Omardin daripada Barisan Nasional, Aziz Jamaludin Mohd Tahir daripada Gerakan Tanah Air dan calon bebas Ir Zulkifli Ahmad.

Sementara itu Amirudin turut mengisytiharkan PKR adalah parti paling demokratik di Asia Tenggara selepas Azmin mengisytiharkannya ia diterajui oleh seorang diktator.

“Kami adalah parti paling demokratik di Asia Tenggara. Kita benarkan semua ahli mengundi dan memilih presiden dan timbalan presiden kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan manifestonya sendiri kepada pengundi Gombak petang tadi.

Beliau berkata PKR adalah penjelmaan amalan demokrasi kerana setiap ahli mempunyai hak untuk mengundi secara langsung untuk kepimpinan parti sambil menambah parti lain di negara ini. – Berna 10 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen