Padang becak di Gombak medan ukur saingan menuju hari mengundi


Noor Azam Shairi

Radzi Jidin berhujan ketika berucap dalam program Jelajah PN Best di Taman Keramat, Gombak malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 November, 2022.

SEBUAH padang bola sepak di tengah kawasan perumahan majoriti penduduk Melayu di Taman Keramat, dalam kawasan Parlimen Gombak, di Selangor, seperti jadi medan mengukur persaingan gabungan parti politik yang bertanding pada pilihan raya umum ini.

Di padang itu malam tadi, Muhyiddin Yassin mengetuai pimpinan kanan Perikatan Nasional (PN) menganjurkan Jelajah PN Best, mengasak beberapa kawasan parlimen di Selangor dan Kuala Lumpur, antaranya Gombak, Setiawangsa, Wangsa Maju, dan Ampang.

Program ceramah PN malam tadi mengimbau ingatan banyak hadirin pada ceramah mega Pakatan Harapan (PH) di tempat sama empat tahun lalu, tiga malam sebelum hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Ketika itu Muhyiddin dan Bersatu masih bersama PH, yang waktu itu diterajui Dr Mahathir Mohamad.

“Empat tahun dulu padang ini penuh orang,” kata seorang pengundi di Gombak yang hanya mahu dikenali dengan nama Yusof. 

“Malam itu pun hujan lebat,” tambahnya.

Malam tadi, di ceramah PN, yang hadir kebanyakannya pekerja parti. Barangkali kerana hujan lebat sejak petang. Barangkali juga kerana kempen ceramah seperti ini boleh diikuti lebih selesa melalui skrin kecil telefon genggam di rumah atau di mana saja.

Hujan reda sekejap selepas waktu Maghrib tetapi turun lagi dua tiga kali, sampai perhimpunan bersurai selepas 11 malam.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengetuai Jelajah PN Best, mengasak beberapa kawasan parlimen di Selangor dan Kuala Lumpur, antaranya Gombak, Setiawangsa, Wangsa Maju, dan Ampang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 November, 2022.

Padang becak. Di beberapa tempat lecah tebal dan air bertakung. Deretan kerusi yang disediakan untuk hadirin kosong. Ramai yang memilih berlindung di khemah yang disediakan untuk tempat makan, yang dijual di gerai-gerai yang dibuka di satu sudut padang.

Muhyiddin mengambil giliran berucap selepas Mohamed Azmin Ali, calon PN di Gombak yang juga penyandang kerusi parlimen itu sejak tiga pilihan raya umum lalu. 

Dalam ucapannya, Muhyiddin menekankan mesej yang jelas untuk pengundi – pilih sebuah kerajaan yang berintegriti, bersih dan cekap.

“Kalau (kerajaan) jatuh kepada Pakatan Harapan, apa jadi? Kalau jatuh kepada Barisan Nasional dan Umno, apa jadi?” tanya Muhyiddin, yang berucap di tengah hujan renyai.

“Saudara ada kewajiban dan tanggungjawab… selamatkan negara, jangan jatuh kepada puak-puak yang tidak beramanah, tidak bertanggungjawab ini,” tambahnya.

Mohamed Azmin Ali, calon PN di Gombak yang juga penyandang kerusi parlimen itu sejak tiga pilihan raya umum lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 November, 2022.

Muhyiddin berucap di pentas yang menganjur ke tempat hadirin – seperti pentas acara pertunjukan fesyen atau konsert. Di pentas utama di belakangnya duduk calon-calon PN yang bertanding kerusi parlimen di Kuala Lumpur dan Selangor, serta pimpinan kanan parti termasuk Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Muhyiddin, yang digelar ‘Bapa PKP’ oleh pengerusi PH Anwar Ibrahim, sekali lagi menjadikan kritikan terhadapnya itu untuk mengingatkan rakyat usaha-usaha yang diambil pentadbirannya untuk menangani Covid-19 semasa beliau jadi perdana menteri.

“Semua yang hadir di sini sudah dapat suntikan vaksin?” tanyanya.

“Dalam badan saudara ada sumbangan kerajaan Perikatan Nasional menguruskan duit saudara supaya nyawa saudara terselamat. Alhamdulillah, semua yang ada di sini terselamat daripada jangkitan Covid-19.”

Anwar yang mengkritiknya beliau sifatkan tidak reti bersyukur dan tidak tahu berterima kasih kepada pentadbiran yang bersusah-payah mengharungi krisis Covid-19.

Muhyiddin bagaimana berkata beliau tidak mahu mendabik dada bahawa beliau yang membawa Malaysia keluar daripada pandemik.

“Biarlah rakyat menilai,” tambahnya.

Program ceramah PN di Taman Keramat malam tadi mengimbau ingatan banyak hadirin pada ceramah mega Pakatan Harapan di tempat sama empat tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 November, 2022.

Kempen PN malam tadi, daripada pilihan tempat sampailah kepada nada dan kandungan ucapan, membayangkan sasaran gabungan itu untuk terus mara meraih sokongan sampai ke hari mengundi, iaitu pengundi Melayu.

“Hari ini saya boleh katakan hampir sebahagian besar orang Melayu menyokong Perikatan Nasional. Ini saya tidak payah sebut peratus, ini boleh kita tengok di mana-mana.

Kajian Merdeka Centre setakat hujung minggu lalu, yang dibentang di sebuah forum dalam talian, menunjukkan PN semakin menarik sokongan pengundi Melayu dan trend itu terus meningkat.

Pengarahnya Ibrahim Suffian dilapor berkata PN boleh menang banyak kerusi Parlimen sekiranya jumlah sokongan itu mencecah lebih 50% – dan mesej itu yang ditinggalkan oleh Muhyiddin kepada hadirin apabila menutup ucapannya.

“Yang saya nak tentukan untuk tempoh mendatang, sekurang-kurangnya 80 peratus orang Melayu sokong Perikatan Nasional, insya-Allah, Perikatan Nasional boleh membentuk kerajaan,” kata Muhyiddin.

Antara faktor yang mendorong peralihan kecenderungan pengundi yang melihat imej Muhyiddin sebagai tokoh yang berani menegakkan kebenaran dan melawan rasuah. 

Selebihnya, sifat sebagai bapa yang ditonjolkan selama beliau jadi perdana menteri di ketika kemuncak pandemik Covid-19.

Imej bapa itulah yang terdengar di padang becak di tengah kawasan perumahan majoriti Melayu itu malam tadi. Jeritan “Abah” berulang kali dilaung, sewaktu Muhyiddin tiba dan naik ke pentas, sampailah ketika beliau berucap di tengah hujan renyai.

“Kalau saudara boleh berbasah hujan di bawah, saya pun boleh berbasah hujan,” kata Muhyiddin, ketika kali kedua menolak untuk dipayung seorang pembantu.

Hadirin, yang kebanyakannya pekerja parti, sekali lagi bersorak dan bertepuk tangan,  dan ada yang melaung “hidup Abah!”.

Dua malam lagi, Anwar dan pimpinan kanan PH pula akan datang ke padang sama untuk perhimpunan Jelajah Mega Pakatan Harapan, sebelum semua gabungan parti politik yang bertanding bergerak ke luar Kuala Lumpur untuk malam kemuncak penutup kempen.

Kalau hujan juga dua malam lagi, orang ramai berpayung dan sedia basah kuyup akan dibanding-banding – ceramah siapa lebih ramai orang datang.

Jumlah hadirin dan sambutan kepada ceramah PN dan PH yang hanya berselang tiga malam itu pasti akan dibahas oleh penyokong masing-masing tetapi sokongan yang sebenar tentunya apabila rakyat Malaysia mengundi Sabtu nanti. – 15 November, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen